Masih ingat lagi petang 23 Disember 2018 kita semua berkumpul di KLIA. Saya masih ingat wajah-wajah jemaah tidak sabar untuk menaiki pesawat. Masa itu kita masih belum bermesra dan hanya bersalaman untuk bertanya nama dan dari mana.
Masih ingat bermiqat di dalam pesawat dan memakai ihram. Setiba di Jeddah Airport, urusan immigresen dan bagasi Allah permudahkan, tidak lama kita menunggu. Menaiki bas Qaid warna hitam terus ke Makkah.
Masih ingat di dalam bas menuju ke Makkah sahabat kita Encik Sham bertalbiah hampir 1 jam lebih. Suaranya yang lantang dan adakala sayu kerana bersyukur kerana menjadi tetamu Allah. Mula-mula jemaah bersemangat bertalbiah dan selepas 30 minit ramai jemaah yang tertidur. Ada seketika hanya kedengaran suara sahabat kita Encik Haris bertalbiah menemani Encik Sham kita.
Masih ingat bila kita sampai di Makkah di sambut oleh Ustaz Saiful. Sama-sama kita mengikut Ustaz Saiful membuat umrah pertama kita. Selepas tawaf pusingan yg ketiga ramai yang tercicir tetapi Alhamdulilah semua dapat tamatkan umrah pagi itu. Kita semua solat subuh berjemaah di Masjidil Haram pagi itu.
Masih ingat rawatan di Masjidil Haram. Saya tidak akan lupa melihat wajah jemaah menangis kerana bersyukur di depan Multazam sambil berdoa kepada Allah swt. Walaupun suasana sesak tolak menolak tetapi ramai yang dapat solat sunat taubat dan solat sunat hajat di depan Multazam.
Masih ingat perlahan-lahan kita beratur berjalan dari tempat Multazam sambil memegang tembuk Hijir Ismail untuk masuk ke Hijr Ismail. Sampai di pintu Hijr Ismail hanya Allah sahaja yang tahu hati setiap jemaah dengan suasana yang agak mustahil rempuh merempuh, tolak menolak. Tetapi kuasa Allah yang maha pemurah kepada tetamu-tetamunya, semua jemaah dapat masuk ke Hijr Ismail dan solat sunat taubat dan sunat hajat di situ. Ramai yang tidak boleh lupakan pengalaman untuk hendak keluar dari Hijr Ismail. Tetapi saya tidak lupa wajah kepuasan setiap jemaah selepas keluar dari Hijr Ismail. Alhamdulilah syukur kepada Allah permudahkan semua ibadah kita.
Masih ingat ziarah di Arafah, Ji’ranah, Hubaidiyah dan sekitar kawasan Makkah. Mungkin ramai jemaah tidak dapat lupa kemerduan suara talbiah berlagu Ustaz Saiful kita. Alhamdulilah Allah beri kita tempat tinggal yang dekat dengan Masjidil Haram. Allah beri kita bilik yang bersih, makanan yang enak-enak semasa di Makkah, dan masih ingat sarapan pagi di hotel Makkah dihidang lontong bersama tempeh dan serunding kelapa, sedap macam di Malaysia.
Masih ingat suasana tawaf pada hari khamis malam jumaat dan suasana di Masjidil Haram semasa solat Jumaat. Alhamdulilah semua jemaah dapat merasa solat Jumaat di Masjidil Haram. Sedih hendak meninggalkan Makkah, sedih hendak menengok Kaabah semasa kita buat tawaf wida’. Saya rasa ramai jemaah ketika ini sudah mula rindu dengan Kaabah, rindu untuk solat berjemaah di Masjidil Haram, rindu mendengar suara bilal mengazankan tibanya waktu solat, rindu akan kesibukan bandar Makkah. Pada saya tidak ada tempat di dunia ini yang memberi saya ketenangan dan kedamaian seperti di Makkah dan Madinah. Ramai jemaah yang sekarang ini mengalir air mata kerana rindu kepada rumah Allah dan rindu kepada suasana di Makkah.
Masih ingat tawaf kedai dan melontar RM di Madinah. Ramai yang akan tersenyum sendiri bila teringat bab tawar-menawar dengan penjual. Selepas program yang padat di Makkah, Allah beri kita program yang releks sedikit di Madinah. Disini ramai jemaah ‘happy’ sebab dapat tawaf kedai. Di Makkah jemaah tidak ada banyak masa untuk shopping tapi di Medinah suasana lain sedikit. Kita bersyukur dapat ziarah Masjid Quba sebanyak 3 kali. Kita bersyukur dapat ziarah tempat sejarah seperti Bukit Uhud, Kubu Kaab al-Ashraf, Kubu Urwah bin Zubair, Telaga Uthman, kilang cetak Al Quran, dll. Suara lantang Ustadz Izzuddin bercerita tentang sejarah untuk setiap tempat yang kita lawati masih terdengar dalam ingatan kita. Tidak boleh dinafikan Ustadz Izzuddin memang pakar dalam sejarah islam di Madinah, banyak jemaah pelajari ilmu dan dakwah islamiah dari dia.
Masih ingat suasana di Raudhah, kaum muslimat menunggu berjam-jam untuk masuk ke Raudhah. Ada yang dapat masuk 2 atau 3 kali. Teringat betapa cantik karpet hijau di Raudhah dan ketenangan di Raudhah masih kita dapat rasai. Madinah oh Madinah, baru balik sudah mula rindu Madinah.
Sampai di KLIA, Alhamdulilah syukur kepada Allah, semua beg selamat tiba walaupun banyak beg yang sudah beranak-pinak. Nasib baik jemaah tidak dikenakan bayaran excess luggage semasa di Madinah. Tiga botol air zamzam tidak tiba dan saya masih berurusan dengan pihak Travel Agent untuk menyelesaikan masalah ini. Saya harap Encik Fauzi dan En Kamaluddin dapat bersabar ya. En Sham dan isteri delay connecting flight ke Kota Bharu. Sahabat kita En Haris tersalah naik train ke KLIA2, dia naik train ke Salak Selatan, sebab itu dia miss flight jam 3 ptg ke Penang. Yang 4 beradik semua sudah sampai ke rumah masing-masing, kecoh sekejap bila seorang beradik hilang semasa keluar dari pesawat tapi berjumpa kembali di tempat bagasi.
Terima kasih kepada semua jemaah yang mengikuti pakej ini. Yang saya sangat gembira untuk kumpulan ini ialah bila saya melihat siratulrahim yang sangat rapat di antara jemaah, tolong menolong antara satu sama lain, kerjasama yang sangat erat, bergurau dan ketawa antara jemaah, sikap toloransi yang sangat bagus bila berlaku kelewatan atau bila ada sedikit masalah.
Sepuluh jari saya memohon maaf kepada semua jemaah sekiranya saya terkasar bahasa atau kasar perlakuan saya sepanjang program umrah ini. Saya rasa ramai yang akan mengalir air mata kerana sangat bersyukur atas layanan yang Allah telah beri kepada kumpulan ini semasa kita berada di tanah suci.
Saya sujud bersyukur kepada Allah semua jemaah sudah selamat sampai dan sekarang hanya kenangan manis menjadi tetamu Allah selama 12 hari 11 malam di Makkah dan Madinah.
Group leader.
Yg nak pergi Umrah boleh terus pm kami disini utk kami bantu mereka ke Tanah Suci juga insyaAllah.
Comment (0)