Ke mana sahaja anda pergi di Turki, anda pasti akan nampak gambar Mustafa Kemal atau monumen beliau. Di hampir semua pusat bandar patungnya didirikan dengan megah. Imejnya mendominasi segenap lanskap Turki walaupun sudah 80 tahun setelah kematiannya. Pada duit, bendera, kedai, pejabat, hospital dan sekolah, semuanya ada wajah lelaki bermata biru berkaca ini. Ini menggambarkan betapa personaliti ini diagungkan dan dikenang sebagai lagenda dan hero Turki. Legasinya ini sentiasa bernyawa dalam kehidupan masyarakat Turki.
Siapakah Mustafa Kemal sebenarnya? Jawapannya subjektif kepada orang ‘yang ditanya’. Faktanya, nama beliau hanyalah “Mustafa”, manakala ‘Kemal’ yang bermaksud “yang sempurna” dalam Bahasa Arab adalah gelaran yang diberikan sejak beliau di sekolah kadet tentera, kerana dianggap pintar dalam matematik dengan ‘pertolongan’ gurunya. “Atta-turk” yang disebut-sebut itu pula sebenarnya merupakan ‘surname’ (nama keluarga) yang dianugerahkan kepada Mustafa yang bermaksud “Bapa Turki” atau “Bapa Orang-orang Turki” yang menjadi sistem penamaan baru ketika itu. Selain itu, beliau turut dikurniakan gelaran “Gazi” atau dalam bahasa Arabnya “al-Ghaazi” yang bermaksud “yang memerangi” kerana perjuangan dan kecederaannya di medan perang. Beliau pernah menjadi Jeneral Tentera yang dikatakan berjaya mengusir Tentera Bersekutu, tentera Greek, Perancis dan Itali serta membuka jalan ke arah kemerdekaan Turki. Sebelum itu beliau juga pernah digelar “Pasha”, suatu gelaran kehormat ketika masih memimpin ketenteraan.
Sebelum kejatuhan khilafah, beliau pernah memimpin sebuah Parti Nasionalisme Turki yang berhaluan kiri radikal yang berpusat di Ankara. Semasa inilah pada pandangan saya, beliau berada di tempat yang betul pada masa yang betul. Oleh kerana ketegasan dan keseriusan beliau membangkang, Perjanjian Sevres tidak ditandatangani, lalu menyebabkan British mengeksploitasi tentera Greek untuk menyerang Izmir yang mana kemenangan berpihak kepada tentera Turki yang dipimpin Ataturk. Cuba anda bayangkan, ketika nyawa kerajaan Islam terakhir sedang berada di hujung tanduk dan seluruh umat Islam bergantung harap kepada tentera ini, mereka menang. Disebabkan itu, blok barat terpaksa mengadakan perjanjian baru yang dinamakan “Perjanjian Lausanne” dengan Mustafa yang menyaksikan jajahan-jajahan Turki dikembalikan dan beliau diangkat menjadi presiden yang pertama yang dihormati dan dipandang tinggi oleh dunia Islam.
Umum mengetahui sebagaimana yang diajar dalam teks Sejarah Dunia SPM bahawa beliaulah Presiden pertama dan Pengasas Republik Turki Moden Sekular yang menjatuhkan Empayar Turki Uthmaniyyah yang telah memerintah selama kira-kira 623 tahun. Beliau juga reformis dan pemimpin revolusi Turki yang mencetuskan revolusi secara hampir menyeluruh terhadap sistem pemerintahan Turki dan sistem-sistem lain di bawahnya. Ideologi “Kemalism” yang dibawanya sebenarnya telah menyusup ke dalam pemerintahan Khilafah lebih awal, yang sedikit demi sedikit mengatur jalan kepada kemasukannya sebagai pemerintah dan menyediakan rakyat kepada reformasi beliau.
Seorang penulis buku ‘Atatürk: The Biography of the Founder of Modern Turkey’, Andrew Mango pernah berkata:
“Ataturk telah merencanakan satu revolusi kebudayaan kerana beliau tidak nampak apa-apa nilai dalam tradisi Islam”.
Burhanettin Bulut dari parti pembangkang, CHP pernah memberitahu Al-Jazeera:
“Untuk kebanyakan rakyat Turki, Ataturk dan idea-ideanya adalah degup jantung kepada Republik ini.”
Hati-hati jika kalau hendak berbicara tentang beliau. Silap-silap, penjaralah tempat tidur anda jika tertangkap memburukkan atau menghinanya di Turki. Beliaulah satu-satunya pemimpin yang sudah mati yang masih dilindungi oleh undang-undang Turki. Ya, menghina Ataturk adalah satu jenayah di Turki. Pernah tangkapan-tangkapan dibuat terhadap orang awam, alim ulama’, wartawan dan aktivis yang mengkritiknya. Presiden Turki, Tuan Erdogan sendiri pernah memenjarakan dua orang wartawan Turki bernama Nagehan Alc? dan Ahmet Altan selama 6 tahun kerana mengatakan Ataturk seorang “Diktator”.
Kata Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika ulangtahun ke-79 kematian Ataturk -walaupun tentu sekali kata-kata seorang ahli politik tidak semestinya menggambarkan pendirian peribadi beliau-:
“Negara kita selamanya menghormati Mustafa. Kita tahu sangat yang negara kita tiada masalah dengan panggilan “Bapa Orang Turki”, yang mana ia sendiri memberikan nama itu kepada beliau. Jadi, mengapa ada perdebatan tentangnya?”
Kenyataan sebegitu oleh Presiden Turki dari Parti AKP yang pro-Islam sememangnya -pada pandangan saya- tidak mencerminkan pendirian sebenar mereka, sebaliknya merupakan ‘modal’ politik yang memberikan keuntungan tertentu. Mana mungkin sebuah parti yang menentang ‘Kemalisme’ dan sekularime agresif yang menyerang Islam dan menghilang pengaruhnya dalam kehidupan sosial tidak menentang individu yang bertanggungjawab mendukungnya.
Selain itu, kalau kita tanya kebanyakan pemimpin politik Turki: “Siapa yang kamu rasa boleh dijadikan watak Hollywood?”, pasti mereka akan kata “Ataturk”.
Dari perspektif rakyat Turki, secara umum beliau dikatakan lagenda dan hero bagi negara Turki, sama ada kata-kata itu jujur atau tidak hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu. Apa yang saya tahu, ia bukanlah mewakili pendirian 100% orang Turki yang mana saya yakin secara terang atau berselindung, ramai juga yang tidak bersetuju atau tidak sukakan beliau, ideologi beliau atau sikap beliau terhadap Islam. Apa yang pasti, persepsi manusia bergantung kepada apa yang mereka tahu dan faham. Sebagaimana di Malaysia, jika kita berpada dengan sejarah yang diajar dari buku teks, maka setakat itulah ilmu dan kefahaman kita.
Dalam Islam, yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Menyembunyi dan mempertahankan kebatilan kerana takutkan manusia atau kepentingan duniawi adalah suatu bentuk pencabulan, kezaliman, malah marupakan satu ciri nifaq. Lebih teruk, ia boleh mengakibatkan gugurnya iman! Wal-‘iazubillah.
Kenapa beliau dianggap seorang ‘hero’?
Tidak lain kerana beliaulah yang dianggap punca kemerdekaan Turki, yang membebaskan wilayah-wilayah Turki dari kuasa Barat dan Eropah, kemudian merevolusikan Turki dari pelbagai aspek. Beliau turut dihormati kerana mampu berkhutbah tentang Islam. Berikut antara yang sumbangan dan dasar beliau:
- Menjadi komander yang memenangkan Turki khususnya dalam Perang Kemerdekaan 1919-1923 dan mendapatkan kemerdekaan daripada pihak Berikat melalui Perjanjian Lausanne 1922 dengan 4 syarat: Khilafah dihapuskan, khalifah diusir, harta khalifah dirampas dan negara Turki baru diasaskan atas asas sekular.
- Membina sebuah kerajaan republik total berasaskan demokrasi menggantikan sistem kesultanan dan monarki, serta enggan menerima mandat daripada kuasa-kuasa barat.
- Men’sekular’kan sistem kehakiman, undang-undang dan negara secara keseluruhannya.
- Menggantikan para ulama elit dengan ahli-ahli birokrasi moden serta menghapuskan sistem kekhalifahan yang dianggap menghasilkan para fundamentalis ekstrim.
- Menggantikan sistem pendidikan fundamentalis dan islamik yang dianggap sudah reput dengan sistem sekular dan saintifik, seperti menghapuskan institusi pendidikan bukan kerajaan seperti Madrasah-madrasah.
- Menjadikan bahasa Turki satu bahasa sahaja tanpa ada Bahasa Arab dan Parsi.
- Menggantikan abjad Arab dengan abjad Latin yang dianggap lebih mengembangkan keupayaan pembelajaran. Tulisan Arab di dalam Al-Quran digantikan dengan terjemahan ke Bahasa Turki sepenuhnya dan azan diperintah agar dikumandangkan dalam Bahasa Turki sahaja.
- Menginisiatifkan pertukaran populasi antara lebih 1.6 juta orang Greek di Turki dan kira 355,000 orang Islam di Greek pada 1923.
- Memberikan hak dan kebebasan kepada kaum wanita untuk mengundi dan dicalonkan.
- Memperkenalkan kod berpakaian yang baru dan moden seperti memakai topi ala Barat, memakai skirt bagi perempuan dan memakai tudung secara terhad.
- Memakai model ekonomi berasaskan teori Lor Keynes dan membina asas industri moden.
- Membina institusi kerajaan yang kekal seperti Institusi Sejarah Turki, Institusi Bahasa Turki dan Institusi Ankasa Lepas Turki.
- Masjid-masjid ditutup, Masjid Aya Sofia dijadikan muzium dan solat berjemaah dilarang.
Mr Sener Eruygur dari Ataturk Thought Association mengatakan:
“Beliau merupakan simen bagi negara Turki yang memegangnya bersama. Ataturk memberikan orang Turki harapan ketika kelihatan tiada harapan. Beliau memberikan kami kemerdekaan.”
Kita boleh lihat penyokong-penyokong sekularisme dan musuh Islam mempertahankan beliau seakan-akan beliau ini ‘Tuhan’ serta menyerang sesiapa yang tidak mahu mengikut mereka manakala yang lainnya secara rahsia bersikap neutral.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
{Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik ….} (al-Maaidah : 82)
Pada saya, apa yang jelas ialah Mustafa Kemal cuba menghapuskan secara total kesedaran rakyatnya tentang Islam dengan menghilangkan pendidikan Islam, pada masa yang sama membawa masuk dan menerapkan budaya barat dan sistem sekular yang hanya melalaikan serta merosakkan sistem nilai masyarakat mereka. Kerana itu, tidak hairanlah jika kita sukar melihat orang muda Turki solat.
[Barang siapa yang mengada-adakan sesuatu di dalam agama kami ini yang bukan darinya maka tertolak.] (Hadith Sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Seluruh dunia Islam sudah mula nampak sisi sebenar tokoh tersebut. Orang Islam mana yang tidak sensitif apabila Khalifah Islam dihalau, al-Quran dibaling kepadanya, ulama’ digantung, imej dan pakaian islamik diharamkan, semangat nasionalisme ekstrim dipromosi, laungan azan dialih ke bahasa Turki, masjid-masjid diletak bawah pemantauan, wanita dipaksa berpakaian ala barat, rakyat yang menentang dipenjara dan dibunuh serta pemimpin yang menang pilihanraya digulingkan lalu digantung. Tidak dinafikan pada masa yang sama, kelemahan pemimpin dan orang Islam juga menjadi faktor kegagalan mempertahankan negara Islam.
Secara asasnya sebagai orang Islam yang faham Islam, apabila melihat syariat Islam seperti belajar agama, menutup aurat, undang-undang Syar’ie ditentang pelaksanaannya, malah digantikan pula dengan syariat Kuffar, itu sudah cukup untuk menandakan bahawa Islam sedang diperangi, bukan lagi secara halus bahkan terang-terangan. Allah Taala sudah memberitahu secara jelas dalam surah al-Baqarah ayat 120:
{Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu hingga kamu mengikuti agama mereka …}
Di kalangan pengkritik-pengkritik, ada yang menggelarnya seorang “Diktator zalim”, “Gay”, “Ahli Freemason”, “Pengikut Doenmeh” dan “Yahudi Zionis”. Namun, masih banyak kekeliruan berlegar-legar di kalangan orang-orang Islam mahupun bukan Islam seputar siapa sebenarnya Ataturk walaupun beliau jelas menzahirkan sikap anti-Islamnya.
Sebagai muslim, pendirian kita seharusnya jelas tentang status personaliti ini kerana apa yang dibawa oleh seseorang itu mewakili akidahnya dan akidah merupakan teras agama. Allah SWT menggariskan penduan yang jelas berhubung soal akidah ini dalam surah Al-Maidah ayat 51:
{Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil (atau menganggap) orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai penolong (atau pemimpin), sedang mereka adalah penolong/pemimpin sesama mereka. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi penolong/pemimpin, maka sesungguhnya dia termasuk dari kalangan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.}
Tidak perlulah rasanya untuk menyebut tentang penyakit beliau, kisah kematian beliau, peristiwa “Pembunuhan Beramai-ramai orang Armenia” (Armenian Genocide), yang mana belum tentu disokong dengan dalil atau bukti yang kukuh.
Ada bukti lisan yang menunjukkan beliau bukan semata-mata seorang Yahudi Doenmeh rahsia, bahkan keturunan rahsia ke-17 nabi palsu Yahudi bernama Sabbatai Zevi iaitu sebuah akhbar Yahudi, “Forward”, bertarikh 28 Januari 1994, bertajuk “Apabila Kemal Ataturk membacakan Shema Yisrael”, beliau dipetik sebagai berkata:
“Ia adalah doa rahsia saya juga” akui beliau.
Tidak ada seorang pun yang menyangkal hal ini. Lebih janggal lagi, regim beliau sendiri pernah menolak untuk mendedahkan latar belakangnya. Kenapa? Anda boleh agak sendiri.
Cerita tentang keyahudian Mustafa tetap dinafikan beliau dan tidak pernah diambil serius oleh para penulis biografi. Satu rujukan ilmiah Yahudi iaitu Israeli Entsiklopedya Ha-Ivrit dipetik yang bermaksud:
Mustafa Kemal dilahirkan dalam sebuah keluarga kerani kastam di Salonika dan kehilangan bapanya ketika masih kecil. Tiada bukti terhadap kepercayaan yang tersebar di kalangan orang Yahudi dan Islam bahawa keluarganya dari kalangan pengikut Donmeh. Ketika budak, dia memberontak terhadap kehendak ibunya untuk memberiknya pendidikan agama tradisional, dan pada umur 12 tahun beliau dihantar belajar di Akademi Ketenteraan atas kemahuannya.
Apakah maksud Doenmeh? Ia merupakan sebuah kultus berhaluan kiri dari kalangan orang Yahudi Turki yang menggunakan nama Islam, di luar berlakon sebagai orang Islam, tetapi secara senyap beriman kepada Sabbetai Zevi, seorang Nabi Palsu Yahudi kurun ke-17. Mereka juga mengamalkan kahwin sesama sendiri, bertukar-tukar isteri dan golongan ini banyak bertumpu di kawasan Salonika.
Dalam satu pertemuan dengan seorang wartawan Yahudi bernama Ben-Avi, Mustafa berkata:
“Aku adalah pewaris Sabbetai Zevi, bukanlah seorang Yahudi lagi, akan tetapi seorang yang mengagumi Nabi kalian ini. Pada aku, semua Yahudi di negara ini bagus jika menjadi pengikutnya.”
Beliau turut berkata:
“Aku memiliki sebuah Bible Ibrani yang dicetak di Venice. Ianya agak lama, dan aku masih ingat bapa aku membawa aku menemui guru Karaite yang mengajar aku membacanya. Aku masih ingat beberapa ayat darinya, seperti:
“Shema Yisra’el, Adonai Elohenu, Adonai Ehad!”
“Itulah doa kami yang paling penting. Dan ia doa rahsia aku juga.”
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Manusia yang paling buruk adalah orang yang bermuka dua, yang mendatangi kaum dengan muka tertentu dan mendatangi lainnya dengan muka yang lain.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Berkenaan dengan status beliau sebagai sebuah kultus sulit Freemason, Ataturk pernah dilihat mempamerkan isyarat tangan Freemason dengan memasukkan sebahagian tangan ke dalam baju (rujuk gambar di bawah). Mengikut Texe Marrs dalam bukunya Codex Magica, beliau mendedahkan itu merupakan salah satu isyarat bagi Gerakan Masonik Rahsia.
Dari segi perjuangan beliau membebaskan Turki, terdapat beberapa perkara yang boleh dicurigai apabila melihat kronologi peperangan yang beliau pimpin dan sertai. Semasa Perang Dunia Pertama, pasukan tenteranya berjaya mengalahkan British 2 kali di Semenanjung Galipoli (1915-1916), sedangkan dari segi kekuatan, tentera British dan Perancis memiliki kelebihan. Disebabkan kemenangan tersebut, beliau kemudian dilantik sebagai Jeneral. Ini dilihat tidak lain merupakan strategi menaikkan nama dan reputasi Mustafa di mata kerajaan dan umat Islam secara umumnya. Ketika Perang Balkan 1916, beliau berundur ke Anatolia dan pada 1917 tentera Greek menyerang Anatolia dengan bantuan Pakatan Bersekutu selama seminggu, kemudian mereka tiba-tiba berundur. Dalam satu kempen ketenteraan di Palestin pada 1918, beliau telah membenarkan Inggeris mara ke utara tanpa tentangan sementara pasukannya dibawa ke Damsyik. Selepas British mencadangkan Perjanjian Lausanne pada tahun 1922, beliau cuba sedaya upaya mempengaruhi parti-parti pembangkang untuk menerima tuntutan British, namun gagal. Cubaan kedua menggunakan parlimen juga gagal lalu konspirasi dirancang dan akhirnya beliau berjaya dengan menggunakan Himpunan Kebangsaan (Grand National Assembly) yang menyaksikan Khalifah Sultan Abdul Hamid II digulingkan serta sistem Khilafah dibubarkan.
Seorang ahli parlimen pernah memprotes perjanjian yang dicetuskan oleh Lord Curzon tersebut dengan bertanya:
“Kenapa negara Turki diberi kemerdekaan sedangkan negara-negara Arab lain dijajah?”
Jawab Lord Curzon:
“Pokoknya Turki sudah pun dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, sebab kami sudah musnahkan kuasa spiritualnya; Khilafah dan Islam.”
Pada tahun 1938, Mustafa Kemal berucap di sisi Duta Amerika Syarikat, Joseph Clark:
“… Saya tidak ragu bahawa Amerika yang sehingga kini menyokong idea ini (gagasan demokrasi) merupakan sahabat Turki dan matlamatnya (model ikutan) …”
Syarikat Insurans Amerika The Prudential pada tahun 1958 telah menerbitkan sebuah filem berjudul ‘The Incredible Turk’ yang menceritakan tentang kehebatan Mustafa Kemal. Dalam sejarah dunia, amat jarang malah hampir tidak ada tokoh Islam di dunia yang dimartabatkan dalam industri perfileman. Usahkan dijulang, Islam dan tokohnya terus-menerus dihina dan ditelanjangkan oleh industri filem Barat. Ini membuktikan Ataturk sebenarnya lebih menyebelahi dunia barat, kapitalis atau mudahnya musuh Islam, jika tidak mustahil beliau disanjung sebegitu rupa.
Mengenali peribadi beliau membolehkan kita sebagai umat Islam meletakkan pendirian dan sikap yang jelas tentang sosok yang pernah memainkan peranan signifikan dalam sejarah ketamadunan Islam khususnya dan dunia amnya. Paling utama kita harus mengambil iktibar di sebalik rentetan sejarah yang memberi tamparan hebat kepada dunia Islam, agar kesilapan yang sama tidak diulangi lagi. Bagi yang melawat makam beliau, ia sepatutnya lebih mengingatkan kita umat Islam supaya lebih belajar tentang sejarah, kerana sejarahlah yang menjadikan kita begini dan dengannya juga kita mampu mengubah masa depan in-sya-Allah.
Wallahua’lam.
Comment (0)