Hari Pertama, 7 Disember: ISTANBUL

03-umrahstandard

Penerbangan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, Tehran tiba awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul sekitar 9.00 am. Selesai membuat tuntutan bagasi, kami bertemu dengan Mr. Adem Arslan, pemandu pelancong tempatan yang akan membantu kami sepanjang pengembaraan di Turki ini. Ini kali ke-2 saya bertemu dan bekerjasama dengan En. Adem yang sangat mewah dengan gurauan dan mesra tetamu. Kami memulakan pengembaraan hari pertama dengan menziarahi Muzium Topkapi. 2 jam masa yang diperuntukkan di sana terasa sangat singkat berlalu dengan melawati kompleks Muzium Istana Topkapi yang antara lain menempatkan tinggalan barang peribadi Rasulullah SAW dan para sahabat. Satu perkara yang sangat menggamit hati apabila melihatkan 4 bilah pedang milik 4 orang sahabat nabi yang juga dikenali sebagai Khulafa al-Rasyidin. 4 bilah pedang dengan 4 pemilik yang berbeza mempunyai 4 bentuk yang berbeza, seakan-akan memberi petunjuk bagaimana peribadi setiap sahabat tersebut. Umumnya, pedang Umar r.a. dan Ali r.a. punya bentuk yang lebih besar berbanding pedang Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Uthman r.a. Sangat menakjubkan! Seterusnya kami makan tengahari di restoran berhampiran dan meneruskan pengembaraan ke Hippodrome dan solat di Masjid Biru. Selesai di situ, kami menaiki pelayaran Selat Bosphorus, menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT sewaktu matahari terbenam. Keindahan suasana tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan takjub dengan kekuasaan Allah SWT menyelubungi jiwa sekalian peserta rombongan. Pengembaraan hari pertama diakhiri dengan makan malam di restoran makanan laut bawah Jambatan Galata sebelum kami masuk ke hotel untuk berehat.

Hari ke-2, 8 Disember: ISTANBUL – BURSA – KUSADASI

Pengembaraan kami bermula dengan bertolak ke Bursa seawal jam 7.00am. Destinasi persinggahan pertama kami di butik manisan Munira, salah sebuah butik manisan terulung di Turki. Kami disajikan dengan maklumat tentang rempah ratus di Turki terutamanya Saffran, manisan-manisan Turki (Turkish Delights) yang resepinya turun temurun sejak zaman Kerajaan Turki Othmaniah serta produk-produk Turki yang lain seperti pati minyak wangi, kosmetik berasaskan zaitun dan kopi Turki. Usai membeli-belah di situ, kami menziarahi Masjid Besar Bursa dan mendengar penerangan daripada pemandu pelancong Mr Adem tentang keunikan Masjid tersebut. Masjid Besar Bursa adalah masjid yang dibina semasa pemerintahan Sultan Bayezid I. Keunikan seni bina masjid ini dengan mempunyai 20 buah kubah, 2 buah menara serta dihiasi dengan lebih 100 jenis kaligrafi yang menghiasi dinding dalam Masjid tersebut. Ada kisah orang tempatan bahawa dipercayai Masjid Besar Bursa ini sering dihadiri oleh Nabi Khidir untuk solat berjemaah di situ, selain lagenda bagaimana wujudnya kawasan tempat wudhu di tengah-tengah ruang solat bangunan masjid tersebut. Selesai menziarahi Masjid Besar Bursa, kami menziarahi pula Masjid Hijau dan Makam Hijau, masjid serta makam yang dibina oleh Sultan Mehmet I, datuk kepada Sultan Mehmet II yang juga terkenal dengan nama Sultan Muhammad Al-Fatih. Sultan Mehmet I telah membina makam baginda tersendiri sebelum meninggal dunia beberapa bulan kemudian. Jasadnya beserta jasad 7 orang anak-anaknya disemadikan di makam ini. Usai solat jamak Zohor-Asar di Masjid Hijau, kami meneruskan perjalanan ke bandar Kushadasi dan bermalam di situ.

03-umrahstandard

Hari ke-3, 9 Disember: KUSADASI – SELCUK – PAMUKKALE

Pengembaraan di Turki kami teruskan dengan menziarahi Bandar Kusadasi, sebuah bandar pelancongan yang menjadi destinasi pelancong menikmati pantai di Turki. Bandar ini sentiasa penuh pada musim panas dan cuti perayaan. Dalam musim sejuk, jumlah pelancong yang hadir tidak ramai. Kami dibawa untuk mengambil gambar di satu lokasi berlatarbelakangkan bandar Kusadasi yang sangat indah. Seterusnya, kami dibawa untuk menimba pengalaman masuk ke ladang Limau Mandarin dan memetik sendiri buah mandarin. Ladang Mandarin ini terletak di Bandar Selcuk, 30km daripada bandar Kusadasi. Setelah menikmati perahan jus delima segar dan membeli buah limau mandarin pada harga yang sangat murah, kami pergi ke perkampungan lama Shirince untuk melihat binaan rumah lama pengaruh Grik dan Ottoman di situ. Kewujudan perkampungan ini yang satu ketika dahulu diduduki oleh orang Grik yang lari daripada penjajahan Rom Timur, kemudiannya digantikan pula oleh orang Turki Ottoman setelah satu perjanjian antara kerajaan Turki dan Greece yang menatijahkan orang-orang kristian di Sirinche berpindah ke Greece manakala orang Islam di Greece berpindah pula ke Shirince. Senibina rumah dilereng bukit menjadi daya tarikan pelancong di perkampungan tersebut. Cuaca mendung dan berangin menyebabkan kami tidak meneruskan perjalanan masuk ke dalam perkampungan tersebut untuk mengelakkan terkena hujan lebat yang mulai turun. Usai daripada menziarahi perkampungan lama Shirince, kami dibawa pula melawati tapak kuil lama Dewi Atermis. Dewi Artemis dipercayai oleh orang Anatolia kuno – Timur Tengah Turki – sebagai dewi yang menjaga kemakmuran dan dewi pemburu. Kuil yang pada suatu ketika dahulu terdiri daripada 126 tiang marmar berketinggian lebih daripada 4 meter setiap satu, kini hanya tinggal satu tiang yang itupun dibina kembali oleh arkeologis. Kuil ini telah musnah dalam salah satu kejadian gempa bumi yang melanda Turki satu ketika dahulu. Hari ini, tapak kuil ini menjadi salah satu pusat tarikan pelancong ke daerah Selcuk, Turki. Perjalanan hari ini diteruskan dengan melawati butik penghasilan produk fesyen kulit Turki. Kami diberi pendedahan tentang bagaimana industri produk fesyen Turki menghasilkan barangan yang berkualiti tinggi dan dieksport ke luar negara. Ada juga barangan berjenama terkenal dunia mengambil hasil produk di butik tersebut dan dipasarkan ke seluruh dunia bawah jenama tersebut. Teknologi moden hari ini membolehkan butik ini menghasilkan barangan kulit berkualiti tinggi yang dalam masa yang sama nipis dan tahan lasak! Selesai mendengar penerangan dan membeli-belah di sini, kami singgah di restoran untuk makan tengahari dan meneruskan perjalanan ke Pamukkale. Setibanya di Pamukkale, kami dibawa melawati tapak warisan UNESCO: Travertine Pool with White Terrace. Kami berpeluang membasahkan kaki dengan air panas bermineral di situ. Pemandangan batuan putih di kawasan tersebut sangat menggamit mata setiap yang hadir. Setetusnya, kami masuk ke kawasan kota lama Heriapolis dan mengambil peluang bergambar di kawasan Theatre, Agoda (Pasar Awam) dan pintu-pintu masuk kota tersebut. Daripada situ kami bergerak ke hotel penginapan untuk berehat.

03-umrahstandard

Hari ke-4, 10 Disember: PAMUKKALE – AKSARA – CAPPADOCIA

Sebahagian daripada kumpulan kami mengambil peluang untuk menaiki Belon Udara Panas di Pamukkale atas nasihat Pemandu Pelancong kami Mr. Adem. Katanya, di Cappadocia belon udara panas tidak beroperasi atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan. 8 orang sekeluarga pergi menaiki belon udara panas, bakinya meneruskan aktiviti membeli-belah di gedung tekstil di Pamukkale. Pamukkale membawa maksud Istana Kapas kerana di daerah itu kapas dihasilkan dalam skala besar. Kapas-kapas ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan produk tekstil berkualiti tinggi dan dieksport ke luar negara. Selesai membeli-belah di gedung tekstil dan bergabung semula dengan keluarga yang menaiki belon udara panas, kami meneruskan perjalanan ke Cappadocia. Dalam perjalanan ke Cappadocia, kami singgah di salah satu pusat tarikan pelancong dalam daerah Aksara. Sultanhani Caravanserai, salah satu pusat persinggahan rehat dan rawat pada zaman kerajaan Islam Seljuk. Caravanserai ini merupakan kompleks persinggahan paling besar pada zaman tersebut. Di Turki, tidak kurang daripada 100 buah struktur Caravanserai yang wujud dan masih dipelihara sehingga hari ini. Kewujudan Caranvanserai ini telah memacu ekonomi Kerajaan Islam Selcuk pada zaman tersebut kerana ramai pedagang yang datang ke Turki untuk berdagang disebabkan sistem sokongan yang baik pada masa itu. Di Caravanserai, pedagang dapat perlindungan daripada serangan lanun dan perompak, menambah bekalan perjalanan selain dapat memberi rehat kepada haiwan pengangkutan mereka. Disebabkan struktur tersebut sedang dibaikpulih, kami hanya dapat bergambar di bahagian luar struktur Sultanhani Caravanseri.
Sebelum tiba di Kapadokya, kelihatan gunung-gunung mulai putih ditutupi dengan salji. Kami difahamkan daerah Kapadokya telahpun bersalji semenjak minggu lepas. Setiap daripada kami semakin teruja untuk tiba di Cappadocia dan bermain salji. Kami tiba di Cappadocia sekitar jam 9.00pm dan sedikit hampa melihat tiada salji di kawasan tersebut. Sudah seminggu kawasan itu tidak bersalji, maka, salji yang turun sebelum itu telah cair. Namun begitu, semua orang masih menarik nafas lega kerana dapat berehat selepas menempuhi perjalanan yang panjang!

03-umrahstandard

Hari ke-5, 11 Disember: CAPPADOCIA

Hari ini kami berjalan-jalan di sekitar Cappadocia. Antara pekan yang kami lawati adalah pekan Uchisar, Goreme, Chardak dan Avanos. Di Uchisar kami menyaksikan binaan Kubu Uchisar yang mempunyai sebanyak 7 tingkat. Kubu ini dibina di kawasan bukit dengan cara kawasan tempat tinggal dan aktiviti masyarakat dibina dalam bukit tersebut. Bentuk kubu yang unik menjadi tarikan setiap pelancong yang datang ke sini. Selain itu, di Uchisar juga wujud Lembah Merpati – Pigeon Valley – yang menjadi tempat Orang Hittite zaman dahulu menternak burung merpati. Tujuannya adalah untuk mendapatkan telur burung merpati dan najis burung merpati. Telur burung merpati mereka gunakan untuk menghasilkan plaster rumah manakala najisnya digunakan untuk menjadi baja tanam-tanaman masyarakat pada zaman tersebut. Pemandangan indah di Lembah Merpati adalah satu pemandangan yang wajib disinggahi oleh sesiapa yang datang melancong di Cappadocia! Seterusnya kami melawati Butik Barang Kemas yang menghasilkan barangan daripada batu-batuan yang wujud di Turki. Dua jenis batuan Turki yang terkenal, Batu Turqoise dan Batu Zultanite, mempunyai sifat yang unik dan sangat cantik setelah diproses menjadi batu perhiasan. Perjalanan diteruskan dengan menziarahi perkampungan Cardak untuk masuk dan mengalami suasana bandar bawah tanah. Juga peninggalan Orang Hittite, Turki turut menempatkan bandar bawah tanah yang paling besar dalam dunia. Sehingga hari ini masih banyak bandar bawah tanah yang masih belum diteroka. Selesai di sini, kami pergi makan tengahari di pekan Goreme dan singgah di Masjid pekan Avanos yang terletak di tepi sungai Merah untuk menunaikan solat. Selesai solat, kami dibawa untuk menyaksikan demonstrasi penghasilan barang seramik Turki. Kemudian, kami balik ke hotel di pekan Nevshehir untuk berehat. Lewat malam tersebut, salji mulai turun di bumi Cappadocia. Ramai yang mengambil kesempatan untuk bermain salji buat pertama kali. Salji yang turun dengan lebat sangat cantik dan pasti meningglkan memori manis yang sukar untuk dilupakan!

03-umrahstandard

Hari ke-6, 12 Disember: CAPPADOCIA – ANKARA

Perjalanan hari ini dimulakan dengan singgah di kawasan Pasabag dan Devrent untuk mengambil gambar peninggalan masyarakat Hittite zaman dahulu. Rumah-rumah dan gereja dalam batu di Pasabag serta batu-batuan pelbagai bentuk di Devrent menjadi daya tarikan pelancong di kawasan ini. Selesai mengambil peluang bergambar di sini, kami dibawa ke pusat penghasilan permaidani untuk mendengar penerangan dan menyaksikan demonstrasi penghasilan permaidani Turki yang dihasilkan dengan kaedah tradisional sehingga ke hari ini. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke bandar Kayseri untuk makan tengahari dan seterusnya ke gunung Erciyes untuk bermain salji. Sepanjang perjalanan kami salji turun dengan lebat. Kiri dan kanan jalan kelihatan putih dek diliputi salji. Tiba di gunung Erciyes, kami solat di sebuah Masjid berhampiran Resort Ski dan menaiki ‘Cable Car’ di situ. Semua orang tidak melepaskan peluang bermain salji, membuat orang salji dan minum kopi panas di Resort Ski tersebut. Setelah itu, kami bertolak ke Bandar Ankara dan bermalam di Ankara. Bandar Ankara juga diliputi salji ketika kami sampai di sana. Menurut Mr Adem, telah hampir 5 tahun beliau datang ke Bandar Ankara dan ini kali pertama beliau melihat Bandar Ankara dalam keadaan bersalji tebal! Rezeki rombongan kali ini, dapat bermain salji bukan setakat di Resort Ski bahkan juga di dalam bandar!

03-umrahstandard

Hari ke-7, 13 Disember: ANKARA – ISTANBUL

Pengembaraan di bumi Turki diteruskan dengan perjalanan pulang ke bandar Istanbul. Dalam perjalanan, kami singgah di salah sebuah perhentian rehat dan rawat dalam kawasan Dorukkaya untuk berehat serta menikmati pemandangan tasik beku. Sekali lagi, rombongan mengambil kesempatan bergambar di tepi hutan yang pokok-pokoknya dilitupi salji tebal dan juga membuat Orang Salji. Kali ke-2 kami singgah untuk makan tengahari di restoran jejambat dalam daerah Sakarya dan tiba di Istanbul sekitar jam 4pm. Aktiviti diteruskan dengan peluang membeli belah di Grand Bazaar dan kawasan sekitarnya. Seterusnya, kami makan malam di sekitar kawasan Sultanahmet sebelum pergi ke Dataran Taksim untuk menimba pengalaman ‘Night Life’ di situ. Dataran Taksim merupakan dataran yang banyak menyaksikan peristiwa- peristiwa penting berlaku di Turki. Antaranya, di sini berlakunya tempat rakyat menggagalkan secara aman cubaan Kudeta Tentera Turki beberapa tahun yang lepas. Hari ini, dataran ini meriah dengan pelbagai aktiviti yang menarik setiap bulan. Selesai berjalan-jalan di Dataran Taksim, kami pergi ke Hotel untuk berehat dan bersiap-siap untuk balik keesokan hari.

Ingin ketahui lebih lanjut, sila klik link di bawah:

Turkey