Hari Pertama, Ahad, 2 Disember 2018 : “Istanbul, Kami Datang!”
Sarapan pagi yang dihidangkan pramugari tidak lagi memikat selera kerana bayangan Istanbul sudah mula menerjah di minda. Jam menunjukkan 10.30 pagi waktu tempatan apabila pesawat Airbus A310-300 Mahan Air mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki, setelah transit selama 3 jam di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran. Walaupun agak lewat kerana jadual penerbangan dari Tehran telah ditangguh lebih kurang sejam, namun Alhamdulillah kami sampai dengan selamat. Aku turun dan menunggu jemaah yang lain di satu sudut selepas pintu masuk pertama menuju ke tuntutan bagasi. Perkara pertama yang terlintas di kepala ialah melanggan dan mengaktifkan roaming antarabangsa yang sudah saya tetapkan sejak di Malaysia untuk menghubungi pemandu pelancong kami, Mr Özgür Ozan. Sambil mengiringi jemaah saya sempat merakamkan beberapa gambar jemaah sedang berjalan dengan keterujaan terpancar di wajah mereka. Kali ini kami sudah menyiapkan diri lebih awal di Tehran untuk program seharian di Istanbul kerana kami hanya akan ‘check-in’ di hotel setelah berakhir lawatan dan makan malam. Proses semakan imigresen mengambil masa 20-30 minit, mengambil beg selama kira-kira 20 minit dan keluar masuk tandas atau dipanggil “WC” selama 15 minit. Selesai menuntut bagasi, kami berhimpun di satu sudut untuk taklimat ringkas kira-kira 10 minit sambil menunggu 3 orang tetamu berkerusi roda. Sebaik keluar di pintu ketibaan, terus kedengaran suara memanggil, “Mursyid!” di balik deretan penyambut-penyambut lain dengan bendera dan label masing-masing. Ternyata itu ialah suara pemandu pelancong kami. Sambil berjabat tangan dan memperkenalkan diri, beliau membawa kami ke satu sudut untuk “meet and greet” serta taklimat. Seterusnya, beliau membawa kami berjalan kurang 50 meter ke tempat letak bas kerana bas yang masuk mengambil penumpang dikenakan caj yang mahal. Kedinginkn udara luar sekitar 9-11oC menyebabkan semua mengeluarkan jaket tebal masing-masing. Antara ucapan pertama Tour Guide kepada kami sewaktu di dalam bas ialah “Ho?geldiniz” yang bermaksud ‘Selamat Datang’. Bacaan doa selamat dibacakan oleh Tour Leader setelah semua tetamu mengambil tempat duduk masing-masing dan kata laluan Wifi bas diberikan oleh pemandu, Mr Tolgar.
Oleh kerana waktu sudah menghampiri tengahari, kami memutuskan untuk ke restoren dahulu untuk makan tengahari sebelum memulakan lawatan. Pada 11.40 pagi, bas menurunkan kami di satu ‘drop point’ dan kami berjalan lebih kurang 10 minit sebelum tiba di Tamara Restaurant & Cafe, persinggahan pertama kami di Istanbul di mana kami dihidangkan nasi, Kebap Ayam Turki dan air kosong. Seperti biasa mengikut adat makan orang Turki, mereka akan hidangkan set salad dan roti, disertai sup sebagai pembuka asas sebelum hidangan utama. Garam, serbuk lada hitam dan emping cili pula menjadi pelengkap rasa yang boleh dikatakan ‘wajib’ ada di setiap meja. Alhamdulillah, selesai menjamu selera, kami turun menjamu mata di kedai cenderamata bersebelahan iaitu “Zakir Gallery” sambil ‘menyelidik’ harga barang-barang. Sementara itu, ada yang mengambil peluang mengambil gambar, minum kopi dan merokok di luar kedai.
Destinasi kami berikutnya ialah Masjid Sultan Ahmed atau lebih popular dengan nama “The Blue Mosque” di kalangan orang tempatan. Sebelum tiba di situ, kami melalui The Hippodrome of Constantinople, satu dataran horizontal yang menempatkan 3 buah arca yang monumental iaitu Serpentine Column, Obelisk of Theodosius dan German Fountain of Wilhelm 2, yang mana dataran ini suatu ketika dahulu merupakan pusat acara sukan seperti Lumba Kereta Kuda, olahraga serta acara-acara politik. Selepas mendengar taklimat sejarah, jemaah diberikan masa untuk bergambar selama 30 minit sambil menikmati angin sejuk kota Istanbul.
Kami kemudian berjalan ke Masjid Biru, sebuah kompleks masjid yang mengambil masa 7 tahun setengah untuk dibina atas arahan Sultan Ahmed I, yang mana ketua arkiteknya pernah membaik pulih Kaabah dan memasang pancur emas padanya. Ia bukanlah semata-mata rumah ibadat, bahkan sebuah institusi yang menempatkan hospital, madrasah, sekolah rendah, bazar dan makam diraja. Setibanya di perkarangan masjid yang memiliki 6 minaret itu, azan berkumandang menandakan masuk waktu solat Zohor. Pemandu pelancong kami yang lebih mesra dipanggil “Ozzie” menunjukkan para tetamu lokasi tandas, tempat wudhu’ serta menetapkan waktu dan tempat berhimpun. Bagi jemaah yang bukan beragama Islam, mereka turut dicadangkan masuk dan melihat sendiri senibina masjid yang terkenal dengan kemasan jubin Seramik Biru bermotif bunga-bungaan dari Iznik yang berjumlah lebih 20,000 keping, kecantikan seni Khat Arab serta binaan dalaman yang diperkukuh dengan 4 tiang “kaki gajah” gergasi berdiameter 5 meter. Untuk masuk, semua pengunjung dikehendaki memasukkan kasut ke dalam sarung plastik yang disediakan. Selesai menunaikan solat Jama’ Zohor dan Asar, kami tidak melepaskan peluang mengambil beberapa gambar berlatarbelakangkan mimbar dan mihrab sebelum berhimpun di hadapan tangga masjid.
Kira-kira 50 minit kemudian, kami bergerak menuju ke Hagia Sophia yang letaknya tidak jauh, hanya 100 meter dari Masjid Biru. Ini setelah diadakan perbincangan dan majoriti jemaah memilih mahu melawatnya berbanding melawat Masjid Ayub Al-Ansari yang dicadangkan oleh Tour Guide. Setelah beratur hanya 5 minit, kami dapat masuk melalui Fast Lane sekitar jam 2.50 pm. Muzium yang dulunya sebuah gereja dan ditukar menjadi masjid akan ditutup sekitar jam 5 petang, jadi kami memanfaatkan baki 30 minit selepas mendengar taklimat sejarah untuk melihat-lihat ruang dalaman yang mempamerkan keagungan senibina ‘basilika’ atau gereja tua abad ke-6 serta sentuhan transformasi Sultan Muhammad Al-Fatih yang mengundang rasa kerohanian Islam. Berjalan di dalam ‘Aya Sofia’ memberikan suatu perasaan yang unik umpama merentas zaman menelusuri tamadun yang membawa dua agama besar, Kristian dan Islam. Beberapa lukisan atau elemen keagamaan Kristian seperti Mary dan Angel pada jubin dinding dapat dilihat semula setelah simen yang menutupnya ditanggalkan.
Seterusnya kami berjalan melewati bangunan-bangunan cantik menuju ke pick-up point untuk menaiki bas ke Bosphorus Cruise. Setibanya di jeti, sebuah bot putih dua tingkat beralas rumput karpet hijau telah pun sedia untuk membawa kami belayar sambil menikmati keindahan kota Istanbul dari Laut Marmara dan selat Bosphorus yang memisahkan Turki Eropah dan Turki Asia dengan diiringi tiupan angin selat yang dingin. Sambil lepak-lepak di atas dek menghirup udara segar, bergambar, mendengar cerita Tour Guide, mendengar lagu serta melihat bangunan-bangunan lama, rumah penduduk, kubu pertahanan, istana dan jambatan, kami juga dapat saksikan camar-camar laut dan burung layang-layang terbang bebas. Apabila dirasakan dingin bayu tidak tertahan, dek tingkat bawah yang tertutup menjadi ‘spot’ kami untuk menikmati “Çay” (Teh) atau “Kahve” (Kopi) panas dengan harga hanya 5 TL secawan.
Tepat jam 5.30 petang, bot cruise yang kami naiki berlabuh untuk kami menikmati makan malam di Restoren Mio yang letaknya di bawah Galata Bridge. Terasa puas walaupun hanya kira-kira sejam belayar di atas cruise. Makan di ‘atas’ laut tidak sah tanpa makan makanan laut. Jadi, petang itu kami dihidangkan nasi seakan pulut bersama Ikan Mackerel Bakar yang sungguh segar dan enak, sehingga ada yang mahu menambah nasi. Selepas sejam, kami terus berjalan ke Taksim Square dan Istiklal Street. Di sebelah Tugu Kemerdekaan, jemaah berkumpul dan diberi taklimat ringkas sebelum menjalankan aktiviti bebas. Jalan yang sesak dengan orang ramai seolah-olah sedang berarak, Tram pula melintas di celah-celah kesibukan serta deretan kedai, café dan hotel di kiri kanan jalan menjanjikan suasana malam yang istimewa di kota Istanbul moden. Di kalangan jemaah, ada yang minum kopi di Simit Saray?, ada yang mencari kad sim dan ada yang menjenguk pakaian-pakaian di kedai sepanjang jalan. Udara yang dingin menyebabkan kedai-kedai yang dilengkapi pemanas menjadi persinggahan.
Setelah selesai berjalan-jalan di Istiklal Street, kami bertolak ke Hotel Hilton Garden Inn, penginapan pertama kami di Turki. Alhamdulillah.. ebaik kad kunci diagihkan, akses wifi, waktu solat, arah kiblat, waktu sarapan dan waktu berkumpul diberitahu, semua bergegas ke bilik masing-masing kerana kepenatan.
Hari ke-2, Isnin, 3 Disember 2018, “Dari Kota Bursa ke Pulau Burung”
7.15 pagi, kami bertolak ke Bursa bersama orang ramai yang keluar bekerja. Mengikut jadual, kami akan menziarahi Masjid Agung atau “Ulu Cami”, kemudian “Ye?il Cami” atau Masjid Hijau yang mana berhampiran dengannya terletak Makam Hijau. Dalam perjalanan ke sana, jemaah dibawa ke Kedai Muneera untuk membeli-belah manisan Turki atau “Lokum” yang sememangnya terkenal di Bursa. Bukan sahaja manisan, bahkan terdapat pelbagai lagi produk keluaran tempatan yang dijual seperti minyak zaitun Extra Virgin, madu asli, Saffron, pati minyak wangi, rempah-ratus, ma’jun dan lain-lain.
Selesai berbelanja, bas terus ke Grand Mosque dan selama 40 minit, kami melakukan perkara-perkara rutin pelancong. Melihat masjid yang tersergam indah, ramai yang tidak sedar bahawa di atasnya ada 20 kubah kerana ia tidak dapat dilihat melainkan dengan pandangan aerial. Ia berikutan janji Sultan Y?ld?r?m Bayezid I dari kerajaan Seljuk mahu membina 20 buah masjid jika menang dalam perang Nicopolis 1396 menentang Tentera Salib yang akhirnya berubah kepada membina 20 kubah sahaja pada satu masjid atas faktor kewangan. Apa yang menarik, ruang dalamannya seolah satu pameran seni Kaligrafi Arab apabila 192 karya oleh 41 orang artis khat yang berbeza memenuhi dinding-dinding dan tiang-tiang, di samping keunikan binaan “?ad?rvan” atau kolam pancuran di ruangan tengah yang mendapat pencahayaan langsung dari tingkap kecil kubah.
Sebelum lawatan ke Masjid dan Makam Hijau yang menempatkan makam Sultan Mehmed I, jemaah Non-Muslim diberi pilihan untuk terus ke makam tanpa masuk ke Masjid Hijau, manakala yang Muslim akan solat Zohor dan Asar di sana. Turun sahaja di depan Green Mosque, satu mercu tanda berwarna biru tertulis “Bursa” menyambut kami. 30 minit masa diberikan untuk melawat kedua-dua tempat terasa amat singkat. Dijoloki nama “Hijau” kerana majoriti binaan dikemasi dengan jubin berwarna hijau. Melawat ke sini pastinya rugi jika tidak mengambil banyak foto kerana terdapat banyak senibina dan lanskap yang cantik untuk dirakamkan. Silk House yang letaknya hanya di luar pagar Masjid Hijau menjadi persinggahan terakhir kami di Bursa untuk melihat atau membeli produk-produk sutera seperti Pashmina serta pelbagai jenis barang cenderahati lain. Bagi yang berkesempatan ‘meronda’ di dalamnya, pasti mereka tertarik dengan reka hias dalaman bangunan tersebut.
Jam 3.00 petang, kami tiba di sebuah restoren untuk makan tengahari, seterusnya bertolak ke Ku?adas? yang jauhnya sekitar 5 jam perjalanan. Alhamdulillah, kami tiba di Palmin Hotel pada jam 8.00 malam dan terus makan malam sebelum check-in. Tidak lengkap rasanya berada di Ku?adas? jika tidak melihat Laut Aegean dan menghirup angin malam di pinggir salah satu pantai peranginan terkenal di dunia. Jadi malam itu aku bersama 5 orang tetamu keluar ke bandar Ku?adas? menaiki sebuah teksi dengan sewa 25 TL sehala. Selepas 5 minit bertolak sahaja, pandangan kami tertoleh ke sebuah pulau kecil yang dikelilingi tembok penuh bercahaya. Pemandu memberitahu namanya “Pigeon Island” lalu memberhentikan kereta untuk memberi peluang kami mengambil gambar sebelum ke bandar yang hanya beberapa kilometer jaraknya dari situ. Setibanya di bandar, kami berjalan menyusuri laluan pejalan kaki di pesisir Pantai Aegean sambil menyaksikan pemandangan malam serta bergambar di sebuah arca Burung Merpati iaitu simbol Ku?adas?. Minum teh dan kopi hitam Turki di Ku?adas? Bistro menjadi pelengkap aktiviti kami malam itu sebelum bergambar di hadapan sebuah Caravanserai di mana pemandu teksi menunggu untuk membawa kami pulang.
Hari ke-3, Selasa, 4 Disember 2018 : Dari Kota Hellenistik Ephesus ke ‘Istana Kapas’
Pada jam 7 pagi, kami berangkat meninggalkan Palmin Hotel untuk ke destinasi seterusnya, Pamukkale. Sebelum ke sana, ada dua tempat yang akan kami lawati di Selçuk, wilayah Izmir iaitu Citto Pelle Leather Shop dan Ephesus. Kira-kira jam 8.30 pagi, kami tiba di Kedai Pakaian Kulit Citto Pelle lalu disambut mesra oleh staf kedai sebelum dipelawa masuk ke ruang persembahan fesyen sambil dihidangkan teh epal yang sangat sedap. Ketika menyaksikan peragaan fesyen, para tetamu disediakan dengan kad bernombor untuk ditandakan dengan nombor pakaian yang berkenan di hati. Selesai sahaja pertunjukan, seorang wakil kedai memberikan taklimat tentang produk yang mereka hasilkan, kemudian kami dijemput ke galeri pakaian untuk mencuba dan membeli dengan tawaran 50% diskaun. Walaupun harga pakaian mencecah 2,000 TL, kualiti pakaian daripada 100% kulit biri-biri yang lembut, sesuai dengan semua cuaca, boleh dipakai kedua-dua belah dan boleh mengekalkan suhu badan, memjadikan ianya berbaloi tambahan pula terdapat jaminan ‘warranty’.
Setelah kempunan memiliki jaket kulit biri-biri, jemaah dibawa ke Ephesus, sebuah tinggalan Kota Perdagangan Greek Kuno bagi melihat sendiri sisa-sisa bangunan era Helenistik Pagan ketika mana penduduknya beriman dengan kewujudan tuhan-tuhan Mitos. Di sini kami seolah-olah dapat menelusuri sejarah tamadun Greek Lama dengan unsur-unsur kepercayaan karut mereka, membayangkan corak kehidupan sosial mereka dan akhirnya mengambil iktibar daripada bencana yang menimpa kaum tersebut. Mengambil foto di Marble Street, Temple of Hadrian, Library of Celsus, Amphitheater, Agora dan Paip Air Aqueducts merupakan satu pengalaman yang sangat nostalgik. Kehadiran kucing-kucing gebu dan jinak turut menceriakan suasana. Keseluruhan perjalanan santai yang berjarak 1.6 km di selang seli taklimat sejarah mengambil masa lebih kurang 2 jam sehingga kembali ke bas.
Selesai Ephesus, kami singgah makan tengahari dan solat sebelum meninggalkan Izmir. 3 jam kemudian kami tiba di Pamukkale dan Kota Hierapolis untuk merasai keindahan ciptaan tuhan dalam bentuk teres dan kolam-kolam kecil kalsium karbonat berwarna putih bak kapas yang terbentuk secara semulajadi oleh mata air panas. Dikatakan di atas ‘istana’ putih inilah Kota Roman Kuno Hierapolis dibina. Lanskap semulajadi berbentuk tangga daripada batuan kapur itu menjadi lokasi tumpuan kami untuk merendam kaki dan bergambar. Pun begitu, ada antara kami yang tidak berani berjalan di atasnya dek setengah permukaannya yang bertekstur kasar dan licin. Muzium Artifak dan Antique Pool sudah pun ditutup petang itu. Masa dan jarak yang jauh tidak mengizinkan kami untuk melihat dengan dekat kesan-kesan tinggalan bangunan seperti Kuil Apollo, Kompleks Mandi-manda Roman, Theater dan Tembok Kota. Apa yang jelas kelihatan ialah tiang-tiang roman dan runtuhan batu-bata di merata tempat. Berdasarkan sejarah, kota ini pernah musnah akibat gempa bumi semasa pemerintahan Raja Nero, kemudian dibangun semula dan menjadi tradisi penduduknya datang ke kolam air panas kerana dipercayai ia boleh merawat pelbagai penyakit.
Malam itu, Hotel Tripolis menjadi penginapan kami. Setelah check-in, kami turun menikmati makan malam, kemudian sebahagian tetamu bersantai di ruang santai bersebelahan lobi untuk menggunakan internet sambil dihidangkan persembahan “Oriental Dance” yang bermula pada jam 9 malam.
Hari ke-4, Rabu, 5 Disember 2018 : Dari ‘Istana Kapas’ ke ‘Kota Hati’ ke ‘Tanah Kuda-kuda Cantik’
Pada jam 7.30 pagi, roda berpusing untuk membawa kami ke lokasi membeli-belah barangan tekstil khasnya yang diperbuat daripada kapas kerana Pamukkale terkenal dengan kapasnya yang berkualiti. Sebaik tiba di Varol Tekstil, para tetamu diberikan penerangan ringkas tentang produk-produk yang dihasilkan sebelum mereka diberikan kebebasan untuk membeli-belah barangan seperti stokin, t-shirt, tuala, cadar, runner, karpet dan selendang. Di situ sahaja kami mengambil masa hampir 2 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Konya. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah ‘RnR’ di mana kami berpeluang mencuba satu hidangan yang ringkas tapi lazat iaitu yogurt dicampur madu bersama taburan biji poppy. Perjalanan diteruskan ke sebuah restoren untuk makan tengahari dan solat.
Kira-kira jam 4 petang, bas berhenti dan kami berjalan sejauh 30 meter seiring laluan Tram Moden Bandar Konya sebelum tiba di Muzium Mevlana, yang asalnya sebuah madrasah dan penginapan penuntut sejenis Tarikat ilmu Kesufian yang diasaskan oleh Maulana Jalaluddin Muhammad Rumi, seorang tokoh ilmuan Tasawwuf dan pujangga berketurunan Parsi. Beliau terkenal dengan falsafah tentang nilai universal cinta dan ketuhanan yang diterjemahkan melalui karya puisi dan tarian sufi. Berteman angin petang yang nyaman dan dingin, para tetamu leka mengambil gambar di halaman muzium yang dihiasi sebuah kolam pancuran atau “?ad?rvan”. Ziarah ke ruang-ruang pameran yang menempatkan makam-makam ahli keluarga Maulana, masjid kecil, dapur, kamar Tarian ‘Sema’, pakaian-pakaian mereka, alat-alat muzik, lembaran lirik puisi, kitab Al-Quran lama, sejadah dan lain-lain dirasakan sangat singkat memandangkan masa lawatan yang hampir berakhir. Kami bergambar beramai-ramai di sebuah Mercu Tanda bertulis “Konya, The City of Hearts” sebelum beredar untuk menaiki bas ke destinasi terakhir.
Waktu sudah senja apabila kami sampai di Sultanhan Caravanserai untuk melihat sendiri salah sebuah perhentian pedagang yang terbesar di dunia yang dibina ketika Kesultanan Selçuk sebagai penginapan dan kubu pertahanan laluan perdagangan abad ke-13 dahulu. Namun, nasib kami kurang baik kerana tidak dapat menyaksikan ruang dalaman bangunan yang kini dalam proses pembaikpulihan.
Jam 7 malam, bas bertolak ke Dinler Hotel, lokasi penginapan kami di wilayah Nevsehir, Cappadocia.
Hari ke-5, Khamis, 6 Disember 2018 : Di ‘Rumah Belon Udara Panas’
Cappadocia yang bermaksud “Tanah (Tempat Asal) Kuda-kuda Cantik” sangat kaya dengan lembah-lembah yang menjanjikan panorama unik, mencabar imaginasi serta menakjubkan. Pastinya rugi siapa yang tidak melawatinya jika bertandang ke Turki. Pemandangan beratus-ratus belon-belon udara panas berterbangan dilangit turut memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
Selepas menikmati sarapan pagi, rata-rata tetamu kelihatan teruja memulakan lawatan. Jam 8 pagi lagi, semua sudah siap menunggu di lobi, cuma kali ini tanpa bagasi kerana kami akan berada selama 2 hari di Cappadocia. Lokasi pertama lawatan kami ialah Ozler Art Center, sebuah kedai menjual batu permata seperti onyx, turquoise, emas dan perak. Namun yang mencuri tumpuan sudah tentulah “Zultanite” atau “Sultaniyyah” asli yang dahulu hanya dipakai oleh para sultan, boleh berubah sehingga ke 13 warna dan hanya dilombong di Turki. Sudah tentu harganya tidaklah murah, tapi itu tidak menghalang beberapa orang tetamu membelinya dek keunikan dan jaminan keaslian yang diberikan.
Seterusnya, kami ke Uchisar melihat pemandangan serta mengambil gambar berlatar lembah-lembah yang dipenuhi formasi semulajadi berbentuk kon-kon yang pelik berteman udara dingin 10 oC dan 2 ekor unta. Tidak cukup dengan itu, kami bergerak ke Tapak Panorama Terbuka Goreme yang turut memiliki pemandangan unik rumah-rumah dan gereja lama yang dipahat pada bukit-bukit batuan gunung berapi. Difahamkan ia dijadikan tempat persembunyian penganut Kristian dari tentera-tentera Rom yang mahu membunuh mereka. Bezirhani Seramik menjadi perhentian kami berikutnya untuk menyaksikan demonstrasi penghasilan produk tembikar seramik dan membeli-belah barangan seramik buatan tangan yang halus, kreatif dan berciri tempatan.
Selesai di kedai Seramik, kami ke sebuah restoren tempatan untuk menikmati hidangn istimewa daging berkuah yang dimasak di dalam tembikar. Alhamdulillah.. setelah kenyang, kami mencuci mata pula di Lembah Pasabag dan Devrent yang sarat dengan lanskap semulajadi yang dipanggil “Fairy Chimneys”. Terasa seolah-olah berada di dunia mistik dan asing seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah dongeng.
Pemandu pelancong kami kemudian membawa kami ke sebuah kedai menjual kekacang di mana para tetamu dan aku tidak melepaskan peluang membeli kacang Almond, kacang Hazel, kacang Pistachio, kacang Cashew, biji Apricot, biji kuaci, Apricot kering, teh epal, minyak ros dan lain-lain keluaran asli negara Turki.
Lokasi ke enam kami ialah Pigeon Valley di mana kami melihat lembah-lembah yang mengikut cerita, sengaja dilubangi untuk burung merpati tinggal dan najisnya diambil bagi membajai ladang anggur penduduk. Pengalaman memberi makan kawanan burung merpati dan melihat ia berterbangan menjadi kenangan yang indah untuk dibawa pulang.
Selesai menikmati pemandangan di lembah-lembah sekitar wilayah Nevsehir, kami dibawa pula ke salah sebuah Bandar Bawah Tanah di Cappadocia yang keseluruhannya berjumlah lebih 40 buah. Binaan yang sedemikian rupa dikatakan bertujuan melindungi penduduk daripada cuaca ekstrem dan haiwan buas serta pertahanan daripada serangan musuh. Ia pernah menjadi tempat persembunyian orang-orang Kristian awal daripada tentera Rom. Lebih seratus gua dan terowong bawah tanah menempatkan kandang haiwan, dapur, ruang tidur, ruang tamu, tandas dan stor simpanan makanan ditemui siap dengan lubang pengudaraan dan telaga. Bagi yang berusia dan kurang upaya, ia satu pengalaman yang sukar untuk berjalan menaiki serta menuruni tangga, memasuki dan berjalan melalui terowong-terowong sempit dan berketinggian rendah.
Sebuah surau berjarak 20 meter dari “Underground City” menjadi tempat kami solat setelah keluar dari ‘gua’ tersebut. Wanita-wanita tempatan kelihatan berniaga di kaki-kaki jalan sambil kanak-kanak riang bermain, tidak kurang ada yang meminta selira dua daripada pengunjung.
Lewat petang itu, kami dibawa ke sebuah kilang Karpet yang mana kami diberi taklimat tentang industri karpet di Cappadocia, ditunjukkan demonstrasi tenunan karpet menggunakan tangan serta dipersembahkan hamparan hasil-hasil karpet yang berharga tidak kurang 500 TL. Semua tetamu kelihatan terpesona dan rambang mata melihat karpet dan sejadah pelbagai saiz, corak, warna dan material terutama sekali apabila dipertontonkan kemahiran menghampar karpet yang bertukar warna umpama silap mata.
Kira-kira pukul 6 petang, kami bertolak pulang ke Hotel Dinler setelah menghabiskan lawatan hari kelima.
Hari ke-6, Jumaat, 7 Disember 2018 : “Salji Oh Salji”
Tersedar sahaja dari tidur pada jam 2.30 pagi, tiba-tiba hati terdetik untuk membuka tingkap. Ini kerana sehari sebelumnya ketika sebahagian kami berkira-kira mahu menaiki belon, pemandu pelancong memberitahu bahawa salji mungkin turun pada hari ini. Subhanallah! Perasaan teruja yang sukar diungkap apabila titisan-titisan halus berwarna putih dapat dilihat di balik tingkap. Aku jengah kepala ke luar tingkap sambil menghulurkan tangan untuk memeriksa betul ke apa yang aku lihat ini. Bagaikan bermimpi, salji benar-benar turun malam itu. Tanpa membuang masa, aku terus menulis pesanan ringkas ke Whatsapp Group kami, “Cuba buka tingkap”. Setelah itu, jaket, sarung kepala dan tangan aku sarungkan lalu turun ke luar hotel untuk merakamkan detik-detik pertama dihujani salji. Tidak sampai 10 minit, titisan fros dingin menjadi semakin tebal dan lebat lalu memaksa aku kembali ke bilik.
Tepat jam 6.45 pagi, selesai menunaikan solat Subuh, 10 orang termasuk aku menaiki 3 buah 4×4 berhawa panas menuju ke beberapa lokasi “Panoramic Viewpoints” bagi melihat pemandangan bersalji di lembah-lembah sekitar Nevsehir. Ini bagi menggantikan aktiviti menaiki belon udara panas yang terpaksa dibatalkan atas faktor cuaca. Lokasi pertama kami ialah sebuah bukit yang menghadap Ortahisar Castle dan rumah-rumah di pinggirnya. Suasana masih agak gelap ketika itu, namun suluhan cahaya kuning samar-samar dari kota bersama hujan salji menjadikannya menarik dan memuaskan hati. Lokasi seterusnya ialah Hospital Monasteries dan Rose Valley yang hampir separuh dilitupi salji. Sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila melihat dan merasai sendiri pengalaman disentuh, menyentuh serta melihat salji. Keasyikan bergambar sesekali membuat diri terlupa akan kesejukan yang menggigit. Sesekali ais kepal melayang dan berkecai ditubuh terkena balingan. Di Rose Valley, bayangkan lembah dan batuan diselaputi salji nipis, jarang-jarang merperlihatkan warna merahnya, ranting-ranting kayu menampung gugusan kapas ais, sungguh ia suatu nikmat istimewa yang harus disyukuri. Masing-masing ke sana ke sini mencari ‘spot’ menarik untuk merakamkan kenangan yang sangat berharga itu. Setelah hampir 2 jam ‘bermain’, kami pulang ke hotel dengan perasaan puas.
Selesai menurunkan bagasi dan bersarapan, sekali lagi para tetamu tidak melepaskan peluang bergambar di halaman hotel yang cantik dengan hujan salji yang masih tidak berhenti. Pokok-pokok yang tadi masih hijau sekarang sudah memutih manakala kereta-kereta pula ditimbus salji setebal 3 inci.
Pada jam 9.15 pagi, roda bas bergerak dan pemandu pelancong mencadangkan agar kami bermain salji di Cappadocia sahaja, tanpa perlu ke Gunung Erciyes. Ini kerana mengikutnya, jalan ke sana berkemungkinan agak licin serta lebih jauh menyebabkan jemaah terlepas peluang singgah di Tasik Garam dan Makam Ataturk. Jemaah bersetuju, lalu kami dibawa ke pekan Nevsehir dan Uchisar Valley. Selepas penat bermain Snowball di pekan Nevsehir, kami berehat di Lembah Uchisar sambil menghabiskan masa mengambil gambar, minum Teh Turki panas serta membeli sedikit cenderamata Cappadocia. Gugusan-gugusan halus kapas fros yang mengusik pipi tidak lagi aku pedulikan. Kegembiraan dan kepuasan dapat disaksikan di wajah semua tetamu semasa kami menaiki bas untuk meninggalkan ‘Kapadokya’, “The Land of Beautiful Horses”.
Perjalanan ke Ankara akan mengambil masa kira-kira 5 jam. Selepas makan tengahari dan solat, kami singgah di Tuz Gölü atau Tasik Garam, tasik kedua terbesar di Turki dan antara Tasik Air Masin terbesar di dunia. Sebahagian kami turun berjalan dan bergambar di atas permukaan lapisan garam dalam keadaan angin yang kuat dan suhu sangat dingin di bawah 0oC. Satu pengalaman yang menarik juga berdiri dan berjalan di tengah tasik dengan garam yang menjadi salah satu bahan masakan utama berada di bawah tapak kasut.
Setibanya kami di An?tkabir atau Makam Ataturk pada jam 3.50 petang, Mr Ozzie, pemandu pelancong kami memberikan taklimat ringkas sebelum kami bergambar secara berkumpulan di hadapan bangunan utama dan berpecah melawat makam serta muzium. Masa yang singkat kami manfaatkan untuk melihat koleksi barang kepunyaan Mustafa Kamal, Pemimpin Revolusi, Bapa Pemodenan dan Pengasas Republik Turki. Bermula daripada kereta hinggalah pakaian-pakaian dan buku-buku beliau, semuanya dipamerkan di muzium ini. Tidak sempurna lawatan ke sini jika tidak menyaksikan upacara pertukaran pengawal-pengawal keselamatan setelah berdiri kaku di penjuru-penjuru bangunan dan pintu masuk. Teriakan dan pergerakan kaki mereka pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja yang berkunjung.
Tepat jam 5.30 petang kami tiba di hotel. Semua tetamu check-in ke bilik masing-masing selepas kunci dibahagikan. Cuaca malam itu sangat sejuk dan berangin, namun itu tidak menghalang aku dan 15 orang tetamu keluar menghirup udara kota Ankara. 4 buah teksi yang disewa dengan 15TL sebuah membawa kami ke pusat bandar K?z?lay yang jaraknya hanya kira-kira 3 kilometer dari hotel Royal Carine. Kami diturunkan di hadapan K?z?lay Shopping Center untuk berjalan-jalan melihat suasana malam di bandar Ankara sambil menjengah beberapa buah kedai pakaian. Sebenarnya bukanlah hendak membeli sangat, tapi kesejukan yang luar biasa membuatkan kedai-kedai menjadi persinggahan kami memanaskan badan. Setelah sejam berjalan, aku mengajak mereka minum di sebuah restoren Kebap yang popular di Ankara iaitu Aspava Kebap. Alang-alang hendak minum, rugi rasanya tidak mencuba Iskender Kebap yang menjadi pilihan utama di situ. Rupanya restoren tersebut menjadi persinggahan terakhir kami kerana ramai yang sudah penat dan kesejukan. Waktu menunjukkan pukul 10 malam apabila pasar-pasar jalanan mula dibuka dan tiada tanda-tanda malam akan berakhir ketika itu.
Hari ke-7, Sabtu, 8 Disember 2018, Dari ‘Ibu Kota Turki’ pulang ke ‘Kota Konstantinopel’
Perjalanan yang dijangka mengambil masa selama 6 jam dimulakan dengan doa dan taklimat. Dalam perjalanan melalui lebuhraya Ankara-Istanbul, kami dapat melihat pemandangan bukit-bukau dan hutan Pine yang dihiasi salji di sekitar Wilayah Bolu. Setibanya di Istanbul, kami menuju ke restoren yang sama dengan hari pertama untuk menikmati makan tengahari. Selesai menjamu selera, para tetamu mengambil sedikit masa membeli ole-ole di Zakir Gallery kerana harga yang ditawarkan sudah sedia berpatutan.
Seterusnya Topkapi Palace, atau “Istana Gerbang Meriam” menjadi destinasi kami untuk melihat kompleks pentadbiran dan kediaman Kesultanan Uthmaniyyah yang telah mengalami beberapa peluasan dan pengubahsuaian selepas gempa bumi dan kebakaran. Di dalamnya tersimpan koleksi khazanah istana seperti senjata, perhiasan, pinggan mangkuk dan peralatan dapur serta artifak-artifak suci peninggalan nabi-nabi termasuk Rasulullah SAW yang kita cintai, antaranya pedang, busur, tapak kaki dan janggut Baginda. Menyaksikan artifak-artifak suci ini menimbulkan suatu bayangan dan perasaan istimewa seolah-olah berada hampir dengan mereka. Di luar laman ketiga Topkapi, terdapat satu sudut di mana kami dihidangkan panorama cantik Laut Marmara dan kota Istanbul sambil menikmati secawan kopi. Sekejap sahaja masa berlalu, kami mesti bergerak ke masjid untuk menunaikan solat dalam waktu Asar sebelum ke lokasi terakhir iaitu Grand Bazaar.
Selesai solat di Masjid Nuruosmaniye, jemaah terus masuk melalui Pintu 1 Pasar Besar yang memiliki 24 pintu masuk, lebih 60 laluan dan 4000 kedai yang menjual pelbagai jenis barangan daripada emas hinggalah ke cenderamata-cenderamata kecil. Mencari kedai, memilih barang, tawar-menawar dan mencari jalan pastinya membuatkan tempoh 2 jam tidak mencukupi bagi para tetamu. Akhirnya pada jam 6.30 petang, kami keluar meninggalkan Grand Bazaar menuju ke sebuah restoren untuk makan malam sebelum bas datang membawa kami pulang ke Hotel Hilton Garden Inn. Itulah malam terakhir kami sebelum mengucapkan “Güle güle” (Goodbye) dan “Seni seviyoruz” (We Love You) kepada Istanbul.
Alhamdulillah..
Comment (0)