BALKAN, 24 OKTOBER – 2 NOVEMBER 2019
Oleh: Zam Uswati bin Musa
Tour Leader Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd

Hari Pertama: Khamis, 24 Oktober 2019

Pada jam 11.15 malam, kira-kira 4 jam sebelum waktu berlepas, aku tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) untuk check-in bersama-sama para tetamu Mursyid Alharamain Travel & Tours, yang mana sebahagian besar mereka adalah kenalan Hj Japri dan Hjh Aishah, wakil Jualan syarikat di Muar.

Pada jam 11.45 malam, semua tetamu tiba dan berkumpul di hadapan kaunter check-in seperti yang dijanjikan. Dari syarikat, Saudara Azim dan Saudara Rozaimi, hadir ke airport bagi membantu urusan check-in dan perlepasan. Seperti biasa, proses mengumpulkan ahli rombongan dan bagasi-bagasi memakan sedikit masa memandangkan di peringkat awal, kami tidak mengenali antara satu sama lain. Sambil bagasi diatur, ditag dan diangkat ke conveyor belt, aku mengambil peluang berkenalan dengan ahli-ahli rombongan serta mengambil foto mereka bagi tujuan identifikasi.

Kali ini seramai 22 orang tetamu yang akan aku bawa mengembara ke Rantau Balkan; 8 orang dari Johor, 8 orang dari Pulau Pinang, 2 orang dari Selangor, 2 orang dari Pahang dan 2 orang dari Terengganu.

Sebagaimana dicadangkan sebelum itu, beberapa orang tetamu dari Pulau Pinang telah menyewa Portable Wifi daripada Syarikat Roaming Man secara online dan menuntutnya di Kiosk KLIA manakala beberapa lagi di kalangan kami tidak berhasil menyewanya kerana kesemua modem sudah habis disewa. Jadi, tips bagi yang mahu menyewanya, dia mestilah membuat tempahan sekurang-kurangnya 2 ke 3 minggu awal. Sebuah modem boleh dikongsi bersama sehingga 5 orang dengan kadar RM18 sehari, maka untuk 8 hari jumlahnya RM144 sahaja. Jika dikongsi 4 orang, seorang hanya perlu membayar hanya RM36.

Selesai urusan check-in, kami berkumpul untuk sedikit taklimat perjalanan dan bacaan doa sebelum ke balai perlepasan.

Hari Kedua: Jumaat, 25 Oktober 2019

Kira-kira jam 2.10 pagi, kami semua sudah berada di tempat duduk masing-masing di kabin Qatar Airlines. Alhamdulillah, semua mendapat tempat seperti yang ditentukan, cuma 2 orang tetamu sahaja terpaksa berpindah ke tempat lain atas faktor yang tidak dapat dipastikan. Alhamdulillah, setelah meminta bantuan pegawai penerbangan, mereka diberikan seat yang bersesuaian. Nafas lega dihela sebaik tali pinggang dipakai, sejurus itu juga bayangan Ohrid, Kotor, Dubrovnik dan Mostar yang sering diperkatakan orang mula menerjah ke minda. Selepas hampir 7 jam perjalanan, waktu Solat Subuh pun tiba, wudhu’ diambil dan solat ditunaikan di tempat duduk sekadar mampu. Aku kemudian bergerak memaklumkan kepada jemaah. Solat yang ditunaikan akan diqadha setelah kapal terbang mendarat.

Tepat jam 5.15 pagi waktu Dhoha, pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad setelah 8 jam di langit. Penerbangan berikutnya dijadualkan pada jam 7.00 pagi, yang bermaksud kami hanya mempunyai 45 minit sahaja untuk ke bilik air atau surau sebelum bergerak ke laluan transit. Setelah selesai pemeriksaan passport, kami terpaksa berjalan agak jauh kerana pintu perlepasan yang hujung diberikan. Namun begitu, lambaian Skopje membuatkan jarak tersebut menjadi seakan dekat. Untuk menaiki pesawat seterusnya, kami dibawa menaiki sebuah bas. Perjalanan ke Skopje, North Macedonia dijadualkan mengambil masa 5 jam 15 minit, oleh itu jam 11.15 pagi kami dijangka tiba di Skopje International Airport. Sepanjang perjalanan tersebut, aku sempat berkenalan dengan sepasang suami isteri warga Skopje, Yazid, seorang Arab yang berasal dari Palestin dan Yasmin, isterinya, orang Macedonia yang fasih berbahasa Arab. Keramahan mereka berdua sangat membantu aku mengenali negara mereka serta mempelajari sedikit sebanyak perbualan asas dalam Bahasa Slavic. Alhamdulillah, dapatlah aku sedikit bekalan ilmu pengetahuan berharga dari warga Skopje sendiri, malah sebelum tiba, aku sempat merakamkan beberapa audio ucapan asas dalam bahasa mereka.

Syukur alhamdulillah, sekali lagi kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Skopje, North Macedonia. Ungkapan pertama yang aku praktikkan ialah “Dobro Utro” yang membawa maksud “Selamat Pagi” ketika menyapa seorang pegawai lapangan terbang di laluan ketibaan. Sebutan “Skopje”dalam Bahasa Malaysia ialah “Skopyey” yang mana “j” mereka berbunyi seperti “y” mengikut bahasa kita. Negara Macedonia kini dipanggil “North Macedonia” dan huruf “c” sebenarnya dibunyikan dengan “k” iaitu “Makedonia”, bukan “s” seperti yang disebut kebanyakan orang. Inilah negara pertama yang kami lawati dalam rangka kembara ke 5 negara Balkan iaitu Macedonia, Albania, Montenegro, Bosnia & Herzegovina dan Croatia, yang mana 4 daripadanya merupakan negara-negara bekas Yugoslavia.

Sambil kami berjalan ke kaunter pemeriksaan passport, aku sempat menggunakan wifi percuma airport bagi menghubungi Tour Guide. Beliau memberitahu akan menunggu di hadapan pintu ketibaan sambil mempamerkan sepanduk berlabel “Mursyid Alharamain”. Setelah memungut bagasi, kami bergerak seiring ke pintu keluar lapangan terbang, lalu disambut oleh Mr Mehmet Ulusoy, pemandu pelancong berbangsa Turki yang mampu bertutur lebih daripada 4 bahasa. Selesai ‘meet n greet’, kami diberi kesempatan selama 20 minit untuk ke bilik air membersih dan menyegarkan diri. Bas MAN bernombor plat SK 3100AN sudah siap menunggu di parkir. Sambil melangkah menuju ke bas, kami sempat ber’wefie’ dengan latarbelakang pintu depan lapangan terbang. Dengan hanya 24 orang penumpang, bas 48 kerusi dirasakan amat luas dan melegakan.

Setelah doa dibacakan, taklimat ringkas dan password wifi diberikan, kami bertolak ke destinasi pertama pengembaraan kami iaitu Kota Lama Skopje dengan hanya 15 minit berbaki sebelum jam 12 tengahari. Mr Mehmet memulakan tugasnya dengan memperkenalkan pemandu bas iaitu Mr Sasko Gacov serta menceritakan latar belakang asas negara Macedonia. Kami diberitahu bahawa setiap lokasi utama lawatan akan mempunyai pemandu pelancong tempatan tersendiri kerana setiap negara mahu menjaga standard informasi pelancongan mereka.

Kebetulan hari itu ialah hari Jumaat dan memandangkan ada permintaan untuk menunaikan solat Jumaat berjamaah di masjid, kami dibawa ke Masjid Mustafa Pasha terlebih dahulu dan bertemu dengan pemandu pelancong tempatan bernama Marina. Kumpulan tetamu wanita dibawa makan tengahari dahulu, sementara kumpulan lelaki boleh solat Jumaat atau melawat kawasan sekitar. Masjid berusia 572 tahun yang dibina sempena nama seorang menteri semasa Macedonia berada di bawah kekuasaan Uthmaniyyah. Senibina gabungan awal Konstantinopel dan Turki Uthmaniyyah jelas dengan identiti kubah dan minaretnya, penggunaan dinding marmar serta batu kapur. Beberapa siri restorasi dan pemuliharaan telah dijalankan khasnya setelah terjejas akibat gempa bumi 1963. Mendengar khutbah Jumaat yang pendek dalam Bahasa Slavic memberikan suatu pengalaman yang sangat unik walaupun tidak difahami. Aku sempat merakamkan seminit khutbah yang berlangsung. Setelah selesai solat pada jam 1.30 petang, kumpulan lelaki pula dibawa menyusuri celahan bangunan lama ke Pcela Restaurant yang jaraknya tidak sampai 5 minit untuk menikmati menu popular Balkan iaitu Cevapi. Hidangan 8 ketul daging kebab bersama nasi, ubi kentang, roti dan salad tidak mampu dihabiskan oleh setiap kami. Selepas itu, kami berjalan ke Kapan An yang hanya terletak di belakang restoren. Bangunan ini dahulu umpama hotel atau rumah tumpangan bagi pedagang-pedagang luar yang pada masa sama memberi perlindungan kepada mereka. 15 minit kami berlegar di laman tengah bangunan ini sambil mendengar penerangan sejarah dari Marina.

Kemudian, kami melalui Old Bazaar yang merupakan deretan kedai-kedai lama yang diberi wajah baru. Sebelum melihat-lihat kedai cenderamata, pemandu kami mencadangkan sebuah kedai penggurup wang untuk menukar mata wang Euro yang kami bawa ke Denar Macedonia, yang mana 1 Euro ketika itu bersamaan dengan 62 Denar. Ini penting kerana kebanyakan kedai di sana lebih menerima mata wang mereka berbanding Euro. Jadi sebelum menukar mata wang untuk membeli-belah, kami kena fikirkan terlebih dahulu apakah yang ingin dibeli dan berapa bajet yang dirancang agar tiada wang berlebihan. Antara memorabilia yang dicadangkan ialah sejenis barang kemas perak dipanggil “Filigree” yang berbentuk rama-rama. Setelah menukar duit, kami diberi sedikit masa untuk membeli-belah di kedai-kedai berhampiran sebelum mara ke hadapan melintasi Chifte Hamam iaitu Rumah Mandi Berkembar dan Kale Fortress atau Tembok Pertahanan Kota Lama sambil sejarahnya diceritakan. Kami seterusnya menghala ke dataran yang dihiasi arca-arca berupa patung-patung logam beserta air pancut. Skopje sememangnya terkenal dengan ratusan patung-patung yang dibina sebagai daya tarikan pelancongan. Antara yang menarik ialah patung-patung ibu Alexander sedang menyusukan beliau yang masih bayi dan patung pahlawan dan singa-singa. Di situ kami mengambil beberapa gambar sebagai kenangan.

Oleh kerana cuaca agak panas, faktor usia dan badan keletihan setelah lebih 15 jam perjalanan, kebanyakan tetamu tidak ikut menyeberangi Sungai Vardar melalui Stone Bridge ke Tugu Alexander The Great, monumen yang menjadi kontroversi dan mendapat kritikan negara jiran. Berhampiran monumen tersebut, terdapat Rumah Mother Theresa dan di hujung Macedonia Street, letaknya Muzium of The City of Skopje yang mana asalnya sebuah stesen keretapi lama yang rosak akibat gempa bumi berukuran 6.1 Skala Ritcher pada 5.17 pagi, 26 Julai 1963. Untuk ke muzium tersebut dari Monumen Alexander jaraknya 700 meter. Kira-kira 2 jam tempoh aktiviti bebas diberikan untuk tetamu melawat, mengambil gambar dan lain-lain sebelum kami menaiki bas ke Hotel Panoramika.

Setibanya di hotel, kami disajikan makan malam yang sangat enak dan pastinya setelah lebih 24 jam perjalanan tanpa henti, katil bersaiz King yang empuk menjadi penyudah yang sangat sempurna. Hari pertama lawatan membuktikan bahawa kecergasan fizikal dan semangat adalah elemen-elemen yang sangat penting untuk melakukan kembara di wilayah Balkan.

HARI KE 3: SABTU, 26 OKTOBER 2019

Tidak lengkap perjalanan ke Macedonia jika tidak melawat “The Painted Mosque” atau Sarena Dzamija, atau juga dikenali dengan The Pasha’s Mosque yang terletak di Tetovo, kira-kira 2 jam ke Ohrid. Lalu masjid ikonik ini menjadi persinggahan pertama kami untuk hari kedua. Masjid yang dibina pada kurun ke-15 ini asalnya sebahagian daripada kompleks yang turut menempatkan madrasah, rumah mandi, makam, jambatan batu dan caravanserai yang tidak lagi wujud. Sangat ketara kenapa ia dinamakan sedemikian, pandang sahaja masjid ini dari mana-mana sudut, jelas kelihatan lukisan-lukisan bermotif flora serta kaligrafi Arab memenuhi dinding dan silingnya. Kehadiran sebuah chandelier di tengah-tengah ruang solat menyerlahkan lagi kecantikan serta dekorasinya yang halus lagi menakjubkan. Masjid ini turut mempunyai tingkat atas yang menempatkan 2 balkoni separa bulat yang kecil. Para tetamu kelihatan sangat teruja bergambar di ruang dalam dan tidak kurang di laman luar masjid yang dihiasi bunga-bunga berwarna-warni. Di hadapan masjid terdapat satu binaan kecil berbumbung di mana letaknya makam 2 saudara perempuan yang menaja pembinaan masjid ini, Hoorshide dan Mensoureh. Udara pagi yang nyaman dan segar menyempurnakan ziarah kami ke masjid popular ini.

Kira-kira jam 12.30 tengahari, kami tiba di Old City Ohrid. Suhu ketika itu tidaklah begitu sejuk sehinggakan sebahagian kami menanggalkan jaket tebal yang dipakai. Perjalanan menyusuri bandar lama ini memberi suatu pengalaman yang unik, berbeza sedikit dengan Skopje, yang mana lorong-lorongnya agak luas, bangunan-bangunan bercampur antara gaya lama dan moden, lantainya pula dipasang petak-petak batu yang berwarna semulajadi. Oleh kerana waktu Zohor sudah masuk, Mr Mehmet menunjukkan kami dua buah masjid, antaranya yang boleh digunakan untuk solat kerana kami akan ke restoren dahulu untuk makan tengahari. Oleh kerana masjid di situ mempunyai tempat mengambil wudhu yang sangat terhad dan salah satu masjid tadi dikunci, maka tempoh yang digunakan untuk solat menjadi panjang. Berhubung soal ini, amatlah berguna jika para tetamu membawa semburan wudhu’ yang mana boleh digunakan di mana-mana sahaja, bukan sahaja menjimatkan masa dan air, malah boleh dikongsi ramai.

Berhadapan Restoren Luna tempat kami makan, bersebelahan Central Square Krusevska Republika yang mana terdapat sebuah kolam air pancut, letaknya sepohon pokok tua iaitu “Old Plane Tree” yang dikatakan berusia lebih 900 tahun. Batangnya yang besar dan terpisah ditengah pernah dijadikan kedai gunting rambut dan café. Kini belahan tersebut dicantum menggunakan simen dan ia dikekalkan sebagai warisan sejarah Ohrid.

Berhampiran pokok tua ini juga kelihatan Masjid Ali Pasha yang dibina oleh Sulaiman Pasha pada 1573 yang kemudiannya diadaptasi oleh Ali Pasha pada 1823. Di tepi kolam air pancut, kami bertemu dengan pemandu pelancong tempatan yang menceritakan kepada kami sejarah Bandar Lama Ohrid serta mercu-mercu tandanya. Kami kemudian dibawa ke sebuah kedai menjual mutiara kerana Ohrid terkenal dengan mutiaranya. Beberapa orang tetamu tidak melepaskan peluang menjamu mata dan membeli barang kemas mutiara termasuklah aku sendiri turut membeli dua utas gelang mutiara yang berharga sekitar 25 ke 40 Euro. Di mana-mana pasti kelihatan kedai-kedai menjual mutiara, begitu juga produk kraftangan berasaskan logam dan kayu.

Kami dibawa menyusuri jalan dan lorong yang dipenuhi kedai-kedai menjual cenderamata sehingga tiba di dataran berhampiran Tasik Ohrid. Seorang jurugambar tua kelihatan asyik mengambil gambar kami semua untuk dijual kemudiannya. Di sepanjang jalan juga terdapat banyak café berpayung yang mana bakal menjadi lokasi utama kami menggunakan tandas, wifi dan menikmati minum petang. Apabila tiba di dataran semula, para tetamu diberikan masa bebas selama sejam untuk bersiar-siar mengambil gambar, berehat sambil minum atau membeli-belah sebelum kami ke jeti untuk menaiki cruise. Selepas menikmati secawan Latte dan memanfaatkan wifi percuma di sebuah café, aku berjalan bersama beberapa orang tetamu sambil melayani permintaan mereka untuk mengambil gambar. Tidak ada yang lebih menenangkan daripada menyedut udara segar tasik sambil melihat camar-camar laut berterbangan dan angsa berenang-renang di tepian.

Jam 5.15 petang, matahari semakin terbenam, lalu kami berkumpul dan 15 Euro seorang dikutip sebelum menaiki bot. Setelah mendapatkan tempat duduk masing-masing, bot mula bergerak perlahan menyusuri tasik Ohrid yang tenang, sambil aku merakam gambar tetamu-tetamu sebagai kenangan. Mereka kelihatan sungguh teruja mengambil foto pemandangan dari tasik, apa lagi di saat matahari mulai hilang dari pandangan. Pantulan cahaya kuning samar-samar pada biru air tasik di kala bayu dingin mengusap pipi dalam suram senja membuatkan kami terdiam asyik sambil diulit melodi arab. Waktu ketika itu seakan-akan terhenti. Tanpa disedari, kami akhirnya tiba di jeti setelah hampir 45 minit belayar, sekaligus menutup tirai lawatan hari itu. Jeti yang kami naiki agak jauh dari hotel, maka terpaksalah kami berjalan hampir 400 meter sambil diiringi beberapa ekor anjing jinak yang agak besar. Sesekali kelibat anjing yang mengekori dekat menakutkan tetamu aku. Setibanya di hadapan Hotel Aura, kami ke parkir bas pula untuk mengangkut bagasi.

HARI KE 4: AHAD, 27 OKTOBER 2019

Pagi itu Mr Mehmet membawa kami ke sebuah bandar pelancongan kecil bernama Struga. Di sini, sekali lagi kami diberikan peluang menikmati keindahan Tasik Ohrid. Masa yang ada dihabiskan dengan mengambil gambar dan membeli sedikit cenderamata kerana itulah persinggahan terakhir di North Macedonia yang mana mata wangnya tidak lagi laku di Albania. Kali pertama menyeberangi sempadan tidaklah membimbangkan kami kerana Mr Mehmet sebelum itu telah pun meyakinkan kami bahawa beliau dan pemandu akan memastikan proses pemeriksaan berjalan dengan baik dan lancar.

Dalam perjalanan kami ke Albania, hampir di mana-mana sahaja “Bunker” konkrit hitam atau kubu perlindungan bawah tanah berbentuk hemisfera dapat dilihat. Walaupun bagi kami, ia merupakan suatu pengalaman yang unik tapi pelik, itulah fenomena realiti di era pemerintahan Sosialis Komunis Enver Hoxha sekitar 1960an ke1980an. Beliau yang dilihat paranoid terhadap peperangan telah memerintahkan rakyat membina kubu-kubu ini tetapi akhirnya setelah kejatuhan Komunisme, tidak digunakan mengikut tujuan asal dan kini sama ada menjadi rumah, stor, café, perlindungan haiwan atau terbiar begitu sahaja.

Lebih kurang jam 12.30 tengahari, kami berhenti di Restoren Palma Nova Resort di mana kami dihidangkan Pizza ala Itali sebagai menu utama dan sesudah itu solat Zohor dan Asar ditunaikan secara Jama’ dan Qasar. Foto diambil di restoren yang memiliki lanskap dan senibina yang cantik sebagai kenang-kenangan.

Sepanjang perjalanan ke Tirana, ibu negara Albania, kami diceritakan tentang sejarah, politik, sosial dan ekonomi masyarakat Albania sambil melihat sendiri budaya setempat. Antara yang menarik tentang rakyat Albania ialah mereka sangat gemarkan kereta Mercedes, hinggakan di mana sahaja kami dapat lihat model kenderaan ini tidak kira yang lama mahupun yang baru. Kami juga dapat melihat perniagaan mencuci kenderaan di sepanjang jalan dijalankan secara tidak formal, bahkan mereka hanya menggunakan air bukit yang dipam. Satu sahaja yang kurang enak didengar, namun ia hakikat kehidupan sosial di Albania, iaitu mereka popular dengan kumpulan kongsi gelap atau gangster mafia. Muzik-muzik kelab yang rancak juga menjadi hiburan dan gaya hidup mereka.

Selepas sejam, kami pun tiba di bandar Tirana bagi melawat beberapa ikon penting di pusat bandar Albania iaitu Skanderberg Statue, Et’hem Bey Mosque dan Clock Tower yang mana semuanya terletak di pinggir Skanderberg Square. Masjid Et’hem Bey yang ketika itu hanya 50m dari tempat kami berkumpul masih berada dalam proses pembaikpulihan, maka ia dilihat dari jauh sahaja, begitu juga Clock Tower di belakangnya. Setelah penerangan selesai, seperti biasa kami mengambil foto berkumpulan dan masa bebas selama 15 minit diberikan. Suatu yang agak typical diperhatikan iaitu hampir semua bandar mempunyai monumen seorang tokoh duduk di atas kudanya. Bagi Tirana, ianya patung gangsa Skanderberg, hero negara yang dulunya menentang kerajaan Uthmaniyyah.

Panas terik matahari membataskan masa kami di dataran terbuka tersebut. Bas dinaiki semula untuk kami menuju ke satu lagi destinasi utama Albania iaitu bandar Shkoder atau Shkodra. Untuk ke sana hanya mengambil masa 15 minit dari Tirana. Hari sudah senja apabila kami tiba di Shkoder, maka aktiviti yang dilakukan hanyalah berjalan-jalan melihat suasana malam ditemani lampu-lampu jalan dan bangunan. Beberapa lokasi kedai dan hotel menjadi port kami untuk bergambar sebelum menaiki bas ke hotel kami yang ketiga iaitu Hotel Kompleksi Exalco-Al.

HARI KELIMA: ISNIN, 28 OKTOBER 2019

Pagi itu kami ke dua bandar lama di Montenegro yang bernama Budva dan Kotor yang terletak di pesisir laut Adriatik. Nama sahaja Kotor, tapi tempatnya bersih dan cantik. Tidak dapat dinafikan perasaan gayat itu ada apabila bas melalui tebing-tebing curam dan tinggi di sepanjang pesisir laut, namun keindahan panorama laut, pulau dan kota mengatasi segalanya. 15 minit sebelum tiba di Budva, Mr Mehmet menunjukkan kami sebuah pulau kecil yang dinamakan Sveti Stefan atau Saint Stefan yang menjadi mercu pelancongan bertaraf tinggi. Ia merupakan sebuah pulau eksklusif yang menempatkan hotel resort bertaraf 5 bintang dan kediaman mewah. Tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan latar belakang pulau terkenal ini, aku meminta bas berhenti. Di samping terkenal dengan bandar lama era pertengahan, tembok batu Venetian, gereja-gereja lama, Budva turut popular kerana pantai berpasir dan kehidupan malamnya. Artis-artis popular antarabangsa sering datang ke sini membuat persembahan dan penggambaran.

Tiba di Budva yang menempatkan antara kota tertua di Pesisir Adriatik, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong tempatan yang bernama Eva. Kami dibawa berjalan kira-kira 15 minit sebelum tiba di Menara Gradenigo yang telah dibina seawal kurun ke-15 sebagai menara kawalan kota. Setelah mendengar taklimat sejarah, kami mula memasuki ‘Stari Grad’ atau Kota Lama dan melewati lorong-lorong di celah bangunan-bangunan lama yang kebanyakannya dijadikan kedai-kedai cenderamata dan café’ sehinggalah sampai ke pintu keluar kecil menuju ke Old Town Beach, sebuah pantai kecil yang menjadi lokasi bergambar kami. Pemandangan laut dari sisi dinding tembok kelihatan sangat menakjubkan. Selesai di pantai, kami masuk semula ke dalam kota lama lalu dibawa melawat beberapa gereja penting dalam sejarah masyarakat Kristian Budva seperti St Ivan Church dan Holy Trinity Church.
Berhadapan dengannya kami dapat melihat keindahan laut dari atas tembok kota sambil menghirup udara segar dan nyaman. Untuk masuk ke Citadel yang mana di dalamnya terdapat muzium, yuran tambahan dikenakan. Setelah puas berjalan-jalan di dalam kota dan membeli sedikit memorabilia, kami keluar melalui Pizanella Gate ke pinggir marina di mana bot-bot cruise kecil dilabuhkan. Restoren Porto yang menghadap marina menjadi persinggahan terakhir kami di Budva untuk santapan tengahari sebelum menaiki bas menuju ke Old Town Kotor yang hanya mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan.

Bandar Kotor dahulunya sebuah Kota Maritim Lama yang dikelilingi tembok batu yang dibina pada era Venetian, kini menjadi pusat pelancongan yang dipenuhi resort-resort dan hotel, menjadi persinggahan kapal-kapal Cruise dan diiktiraf sebagai satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Turun sahaja bas, kelihatan sebuah kapal Cruise besar berwarna putih berlabuh megah di hadapan pintu Kota, yang jelas menunjukkan gabungan identiti moden dinamik dan klasik bagi Kotor. Sebelum masuk, kami berteduh di bawah sebuah pokok di belakang Pondok Informasi Pelancong sambil Eva mengedarkan peta pelancongan Kotor. Foto berkumpulan kemudian diambil lalu kami mula memasuki kota melalui Sea Gate sambil mendengar penerangan sejarah di lokasi-lokasi utama seperti mercu tanda Kotor iaitu Clock Tower, yang juga menjadi meeting point kami, Palace of Fima Family, salah satu rumah agam lama, muzium-muzium dan gereja-gereja seperti Saint Michael dan Iglesia De San Lucas.

Bandar Kotor simbolik dengan kucing, di kaki-kaki lima boleh dilihat banyak kucing-kucing liar bahkan di bangunan-bangunan turut diukir patung dan lambang kucing. Diceritakan dahulu, pelayar-pelayar apabila berlabuh di Teluk Kotor akan membawa turun bersama kucing-kucing mereka. Walaupun simbol Montenegro ialah Singa Venetian, tapi kucing dianggap singa kecil dan pembawa tuah kepada masyarakat, lalu ia kini menjadi simbol tidak rasmi.

Sambil berjalan-jalan, ada yang ‘melontar’ di Hard Rock Café Shop Kotor dan kedai-kedai cenderamata di kiri kanan lorong. Tidak sempurna rasanya jika tidak menikmati secawan Americano di sebuah café terbuka dalam Stari Grad Kotor.

Selepas hampir 2 jam di dalam kota, kami keluar sekitar jam 2.30 petang untuk menunaikan solat.

Bas yang kami naiki pula diangkut menaiki feri di Lepetani bagi merentas Teluk Kotor ke Trebinje, Republic Srpska di mana letaknya penginapan kami, Hotel Bellevue. Perjalanan menaiki feri yang dipanggil “Trajekt” itu hanya mengambil masa 5 minit dari daerah Tivat ke Herceg Novi. Di atas feri, kami dibenarkan turun dari bas dan masa yang ada dimanfaatkan untuk bergambar serta menghirup udara petang.

HARI KEENAM: SELASA, 29 OKTOBER 2019

Antara destinasi pelancongan yang ditunggu-tunggu ialah “Mutiara Adriatik”, iaitu Dubrovnik, Croatia yang menjadi lokasi set-set penggambaran filem-filem dan siri tv antarabangsa, antaranya James Bond, Star Wars The Last Jedi, Knightfall dan Game of Thrones. Suasana dan senibina lama zaman pertengahan yang ada di situ membuatkannya sangat sesuai dan padan sekali dengan kehendak latarbelakang penggambaran. Di tambah pula dengan kedudukannya menghadap laut, kehadiran tembok, pelabuhan, jeti lama, bentuk muka bumi dan alam semulajadinya melengkapkan pakej Dubrovnik sebagai Kota Bersejarah Warisan UNESCO.

Di pintu masuk kota, kami bertemu dengan pemandu pelancong tempatan bernama Janna, lalu di “Onofrio Fountain”, sebuah pancuran air berkubah, tour kami bermula. Melihat kami berkumpul, seorang lelaki berpakaian tradisional cuba menjual rantai berbentuk hati bertulis Dubrovnik 2019 dengan harga 10 Kuna. Secara umumnya kota ini menempatkan istana-istana, gereja-gereja, biara-biara lama, menara loceng di samping beberapa monumen.

Selepas dibawa ke beberapa lokasi tumpuan sambil mendengar penerangan, para tetamu diberi masa untuk berjalan-jalan di sekitar kota, mengambil gambar dan membeli ole-ole. Berjalan di atas petak-petak marmar yang besar dan batuan Cobblestone yang berkilat dirasakan seolah kembali ke zaman Robin Hood. Hanya rupa kedai dan restoren-restoren moden yang mengubah suasana. Sebuah pasar menjual bunga-bungaan, buah-buahan, sayur-sayuran dan cenderamata di laman terbuka kota menjadi lokasi pertama kami berbelanja.

Seorang tetamu muda yang meminati siri TV Game of Thrones kelihatan teruja bertanyakan Janna tentang lokasi-lokasi penggambarannya. Kesempatan yang ada aku gunakan untuk menjelajah berapa bahagian Kota Dubrovnik yang popular seperti Jesuit Stairs dan Church of St Blaise sambil melakukan Facebook Live. Croatia adalah bandar pelancongan yang mahal hinggakan bayaran masuk tandas pun berharga 1.50 ke 2 HRK.

Sejam berlalu dan kami berkumpul semula berhampiran pintu masuk sebelum ke jeti untuk menaiki bot skali lagi. Cuma kali ini, ia adalah pilihan dan semua bersetuju membayar 15 Euro seorang. Bot membawa kami menyusuri Laut Adriatik sambil menghadiahkan panorama kota lama beserta temboknya, bumbung-bumbung rumah berwarna oren di lereng-lereng bukit, pulau-pulau yang hijau memukau dan batu-batu kapur yang dihempas ombak. Semua sentiasa teruja dan bersedia menekan butang kamera di telefon masing-masing. Sementara itu, aku dan seorang tetamu mengagihkan anggur serta buah tin yang dibeli di pasar sebelum itu.

Setelah berakhir pelayaran, kami keluar dari kota dan sebelum ke restoren, kami singgah di satu viewing point dari atas tembok kota menghadap laut selama 20 minit.

Menu yang menunggu kami tengahari itu ialah Risotto, sejenis makanan Itali. Makan di Restoren Mimoza umpama makan di dalam taman kerana dekorasi ruang dalamannya yang mesra alam, pepohon hijau mengelilingi serta memayungi kami dalam suasana yang tenang lagi menyegarkan.

Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari apabila kami bertolak meninggalkan Croatia menuju ke Bosnia & Herzegovina. Ianya agak menarik kerana hampir keseluruhan jalur pesisir pantai dimiliki oleh negara Croatia walaupun berada di dalam wilayah Bosnia & Herzegovina. Ini bermakna secara geografinya Bosnia & herzegovina terkepung oleh Serbia, Croatia dan Montenegro, tanpa memiliki akses laut.

Kira-kira jam 3 petang, kami berhenti di sebuah perkampungan komuniti Muslim Bosnia untuk menunaikan solat. Surau tersebut di kelilingi pagar kayu dengan sedikit binaan batu, di lamannya terdapat beberapa pohon Zaitun manakala di tengah-tengahnya terdapat sebuah tempat wudhu berbentuk bulat, mirip kebanyakan masjid zaman Turki Uthmaniyyah. Suasana aman dan kerohanian dapat dirasai ketika solat di situ.

Memandangkan hari sudah mulai gelap, kami mengubah jadual untuk ke Kravice Waterfall terlebih dahulu. Rancangan asalnya ialah ke Mostar petang itu, namun ia akan merugikan kerana tempoh melawat bandar lama itu akan menjadi sangat pendek berbanding dengan hanya melihat dan mengambil gambar di kawasan air terjun. Pengunjung yang datang dibenarkan berkelah, berkhemah, berkayak malah berenang, namun tidak bagi kami yang hanya memiliki sekitar 30 minit. Deretan 20 air terjun di selang-seli kehijauan dedaun mengelilingi sebuah tasik pasti mempesona sesiapa yang melihatnya. Agak tidak bernasib baik bagi sebahagian kami yang tidak dapat melihat air terjun dengan lebih dekat kerana ia memerlukan sedikit kekuatan fizikal untuk turun bukit dan naik semula. Berdiri sambil menikmati keindahan khazanah alam ciptaan Tuhan di Kravice tidaklah sia-sia walaupun walaupun untuk 15 minit sahaja. Sebelum bertolak ke Citluk pada jam 5 petang, beberapa kami sempat membeli Fridge Magnet dari Kravice. Kira-kira 45 minit kemudian, kami tiba di Hotel Brotnjo yang menjadi penginapan pada malam itu.

Malam itu, sambutan Hari Lahir En. Zainuddin diadakan selepas makan malam. Aku dan Mr Mehmet menghadiahkannya sepotong kek dan secawan kopi Bosnia. Foto dirakam dan kegembiraan ‘Abang Din’ jelas terpancar di sebalik senyumannya.

HARI KE-7: RABU, 30 OKTOBER 2019

Jam 8.00 pagi, bas bergerak membawa kami menziarahi sebuah kota penuh bersejarah di Bosnia Herzegovina, Mostar. Bangunan-bangunan kedai, pejabat serta kediaman dilalui, hampir semuanya masih lagi berparut, mempamerkan luka-luka lama serta-merta menggamit kenangan berdarah peperangan lalu di lubuk memori yang hampir pudar. Teringat ketika TV dan akhbar melaporkan berita-berita, ketika pasukan tentera Malaysia dihantar sebagai pengaman, aku di tingkatan 4 masih lagi mentah. Kesan-kesan peluru tembakan dan bom pada bangunan-bangunan dibiarkan sebagai ingatan dan iktibar bagi generasi kemudian. Melihat bekas-bekas ini sahaja sudah cukup memberi bayangan betapa hebat igauan dan trauma akibat peperangan dialami penduduk tempatan. Perang Saudara Bosnia 1992-1995 antara 3 kuasa iaitu Serbia, Bosnia dan Croatia menyaksikan ribuan umat Islam Bosniak dibunuh, diperlakukan dengan kejam serta dihalau. Majoriti sasaran roket, mortar dan penembak tepat ialah populasi Muslim yang menjadikan ia antara ‘penghapusan etnik’ terburuk dalam sejarah di mana kematian dilaporkan mencecah 300,000 orang, manakala lebih 1.5 juta orang pula diusir.

Tiba di bandar lama, kami berjalan sejauh kira-kira 300 meter ke jambatan ikonik berstruktur gerbang, Stari Most atau Old Bridge. Sementara itu, kami diperkenalkan dengan Ibrahim, pemandu pelancong tempatan yang membawa kami menziarahi kawasan Mostar serta menceritakan sejarahnya. Suhunya agak nyaman dan dingin, berbeza dengan negara-negara yang kami lawati sebelumnya. Lubang-lubang pada bangunan-bangunan tidak lekang dari pandangan. Kami bermula dari jalan bawah jambatan kerana ia merupakan sudut yang tercantik untuk mengambil gambar Stari Most yang tersergam. Sungai Neretva mengalir jernih sambil membawa bersama beberapa ekor itik yang menceriakan suasana. Gambar berkumpulan turut diabadikan berlatarbelakangkan jambatan yang menjadi mercu utama Mostar itu. Ia dahulunya telah rosak akibat peperangan dan dibina semula hasil sumbangan beberapa saintis UNESCO. Kemudian, kami masuk ke kota Mostar melalui bazar-bazar Oriental kecil yang menjual pelbagai cenderamata dan café-café di sepanjang laluan berbatu. Sampai sahaja di jambatan, kelihatan ramai pengunjung sedang asyik bergambar di atasnya. Kami diberi masa sejam untuk bersiar-siar, minum pagi atau ke tandas. Aku mengambil kesempatan tersebut untuk merasa Kopi Bosnia yang hitam pekat bersama 2 potong kuih tradisional di sebuah café berhampiran jambatan sambil wifi percuma dimanfaatkan untuk melakukan ‘Live’ di Facebook. Selesai minum, dengan baki masa yang ada, aku sempat berjalan-jalan di seberang jambatan untuk melihat bangunan-bangunan tradisi tinggalan empayar Turki Uthmaniyyah seperti Bazar ‘Kujundziluk’, rumah-rumah Turki lama, Bey’s Mosque dan Hamam. Masa yang mencemburui memaksa aku mempercepatkan langkah kembali ke tempat berhimpun.

Perjalanan kami ke destinasi kedua tidak kurang mengimbau episod luka dan duka masyarakat Bosnia. Kelibat bangunan-bangunan lama yang pernah dihinggapi peluru, rosak dan runtuh membuatkan hati kami sayu mengenangkan nasib mereka. Sungguh, nikmat-nikmat yang dikecapi wajib disyukuri selayaknya.

Kami tiba di Vrelo Bosne Nature Park yang ternyata memikat hati kami yang ingin melihat dan merasai sendiri kecantikan alam semulajadi di musim luruh apabila pepohon Mapel menggugurkan daunnya, dengan lantai taman penuh dedaun hijau 3 tona berserakan. Keseronokan ber’main’ menyebabkan semua seolah menjadi muda semula. Senyuman dan ketawa riang jelas terpamer di muka para jemaah yang asyik ber’posing’ dan bergambar. Di bahagian tengah taman, terdapat beberapa tasik mata air yang dihuni seekor dua angsa Swan dengan titian kayu yang juga menjadi ‘spot’ pilihan kami untuk menekan butang kamera. Kehijauan alam, keindahan flora dan fauna serta kedamaian yang dirasai menjadikan Vrelo Bosne destinasi yang sempurna untuk menenangkan minda dan berehat.

Setelah lebih 30 minit masa dihabiskan, kami kembali ke bas untuk ke lokasi lawatan seterusnya iaitu Terowong Sarajevo atau Tunnel of Hope, yang selebar 1m, setinggi 1.6m, sepanjang 800m, terletak di antara dua buah rumah dan merentasi laluan pesawat di lapangan terbang yang dikawal UN. Terowong yang menjadi talian hayat terakhir mereka ini dibina pada Mac 1993 dengan hanya menggunakan penyodok dan beliung dengan suluhan malap “lilin perang” yang menggunakan minyak masak sebagai bahan bakarnya. Sebelum disajikan dengan tontonan dokumentari berdurasi 25 minit, kami dipamerkan gambar-gambar berinformasi menceritakan Sejarah Perang Bosnia 1992 dan pembinaan Terowong Bawah Tanah berkenaan. Sesudah itu, kami di bawa memasuki satu segmen terowong yang hanya sepanjang 25 meter. Melihat keadaan terowong, replika-replika yang dipamerkan serta rel yang dibina bagi membawa masuk makanan, ubatan dan senjata sudah cukup membayangkan penderitaan dan perjuangan rakyat Islam Bosnia yang dikepung. Menziarahi ‘Muzim Perang’ ini memberi pengajaran dan iktibar bermakna khususnya bagaimana agama, geografi, sosial dan politik mempengaruhi hubungan antara masyarakat antarabangsa.

Jam 1.45 petang, kami menaiki bas semula menuju ke ibu kota. Seluruh bandar umpama muzium dan galeri hidup yang mempamerkan jatuh bangun Sarajevo bersama solidariti masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.

Hujan renyai-renyai mula membasahi tingkap bas. Jam 2.30 petang, bas menurunkan kami di sisi jalan, payung-payung kecil dikembangkan lalu dengan agak tergesa-gesa kami meredah hujan ke Restoren Djuladin Dvor. Sebelum tiba di restoren untuk makan tengahari, Mr Mehmet sempat menunjukkan beberapa mercu tanda utama dan masjid untuk kami tunaikan solat. Antara yang bersejarah ialah Latin Bridge yang dikatakan menjadi lokasi di mana Archduke atau Putera Raja Austria, Franz Ferdinand dibunuh oleh Gavrilo Princip, seorang warga Bosnia berbangsa Serbia pada tahun 1914 lalu mencetuskan Perang Dunia Pertama. Walaupun sebahagian kami kelihatan sedikit kebasahan kerana tidak membawa payung, namun alhamdulillah.. hujan tidak selebat mana dan hawa panas restoren memberi kelegaan. Selesai menikmati Cevapi bersama roti kebab dan sejenis sos tradisi tempatan, kami terus ke masjid terbesar di situ iaitu Gazi Husrev-Beg’s Mosque untuk mengumpulkan solat di hujung waktu Asar. Di belakang masjid terdapat sebuah Menara Jam, manakala di sekelilingnya penuh dengan kedai-kedai berciri Oriental, restoren-restoren serta café’. Kami meluangkan masa selama 1 jam 30 minit untuk melihat-lihat dan membeli-belah di sekitar bandar lama tersebut. Ketika masa masih berbaki 30 minit, aku melalui Jalan Lama Kazandzilu untuk ‘memeriksa’ kedai-kedai di mana kepingan-kepingan tembaga diubah menjadi hasil-hasil seni. ‘The Sebilj’, sebuah binaan pancur air kayu gaya Uthmaniyyah yang dibina oleh Mehmed Pasha Kukavica pada 1753 menjadi ‘meeting point’ kami sekaligus lokasi kami merakamkan foto berkumpulan. Ketika itu, hari sudah pun malam dan aku berjaya membelanjakan kesemua Covertible Mark yang ada untuk 2 pek kopi Bosnia, sebuah Teko Tembaga Tradisional, sehelai T-Shirt dan beberapa jenis cenderamata seperti rantai kunci peluru kerana esoknya kami akan berangkat meninggalkan Bosnia & Herzegovina.

Bascarcija Old Town, Sarajevo menutup lawatan kami pada hari ke-7 sebelum bertandang ke New Hotel untuk penginapan malam itu.

HARI KE-8: KHAMIS, 31 OKTOBER 2019

Perjalanan kami hari itu hampir keseluruhannya di atas bas. Dari Bosnia ke Zagreb, ibu negara Croatia mengambil masa hampir 8 jam termasuk proses imigresen di dua sempadan dan makan tengahari. Namun ia langsung tidak membosankan kerana sepanjang jalan kami dihidangkan dengan panorama alam semulajadi yang sungguh memukau dan mempesona. Lereng-lereng bukit hijau berbatu dengan jajaran air sungai yang jernih membuatkan kami leka mencuci mata serta mengambil gambar. Selang beberapa ketika kami terlelap dan terbuai dengan alunan muzik Balkan yang dipasang oleh pemandu. Apa yang menarik juga, kami dapat melihat memorial-memorial mini dibina di pinggir-pinggir jalan bagi memperingati mereka yang mati akibat kemalangan jalanraya. Selepas 2 jam, bas berhenti di sebuah stesen minyak sekaligus memberi peluang kepada kami ke bilik air dan menikmati secawan kopi murah berharga 1 KM sahaja.

Jam 1.20 petang, kami singgah di Restoren Derdan, dalam daerah Gradiska untuk makan tengahari. Rupa-rupanya restoren tersebut hanya terletak 1km dari Border Crossing Stara Gradiska, di seberang Sungai Sava. Selepas 40 minit berhenti, kami melintasi jambatan ke Stesen Lintasan Sempadan Bosnia & Herzegovina, seterusnya bagi negara Croatia. Itulah penyeberangan sempadan darat terakhir kami di mana semua penumpang dikehendaki turun membawa passport masing-masing dan beratur untuk pemeriksaan secara individu. Alhamdulillah, seluruh proses memakan masa hampir 30 minit tanpa sebarang masalah. Agak sukar untuk menemui masjid atau surau di lebuhraya luar bandar Croatia, maka kami terpaksa menunggu sehingga tiba di bandar. Oleh kerana sudah menghampiri waktu Maghrib, kami tiada pilihan melainkan solat menghormati waktu di atas bas sebelum sampai ke masjid.

Kami tiba di Pusat Islam Zagreb di mana letaknya Zagreb Central Mosque pada jam 4.45 petang. Tidak lama selepas itu azan Maghrib berkumandang, lalu kami terus solat secara berjamaah. Sejam kemudian, kami dibawa ke sebuah Pusat Membeli-belah City Center One East. Sebahagian kami tidak melepaskan peluang membeli-belah pakaian berjenama kerana harganya lebih murah berbanding di Malaysia.

Hotel Puntijar yang mirip sebuah banglo dengan gaya kolonial lama menjadi penginapan kami yang terakhir. Sebelum menikmati santapan malam di ruang makan bergaya Eropah Klasik, kami dibawa oleh tuan pengurus melihat galeri dan koleksi barangan peribadi keluarga pemilik hotel. Oleh kerana malam sudah lewat dan perut berkeroncong, kebanyakan kami tidak sabar lagi untuk ke meja makan. Makan di ruang makan yang bertema klasik Tradisional Eropah dengan cahaya yang suram memberikan satu pengalaman unik yang tidak dapat dilupakan.

HARI KE-9: JUMAAT, 1 NOVEMBER 2019

Selesai sarapan, para tetamu mengambil kesempatan bergambar di dalam hotel yang penuh dihiasi barangan antik. Aku secara peribadi melihat ia sebagai sebuah galeri kerana tidak sedikit malahan puluhan gambar berbingkai tergantung di segenap ruang dinding dalaman hotel. Mr Sasko, pemandu kami dan Mr Mehmet juga tidak ketinggalan bergambar kenangan di laman luar hotel.

Jam 8 pagi, roda bas berputar untuk membawa kami ke destinasi terakhir Kembara Balkan iaitu pusat bandar Zagreb. Perjalanan dari hotel mengambil masa 20 minit sahaja untuk tiba di ibu kota Croatia itu. Sebaik bas berhenti, kami berjalan ke satu lokasi berhampiran sebuah taman dan tandas awam untuk bertemu dengan pemandu pelancong wanita tempatan. Sepanjang kembara, hanya 2 orang pemandu pelancong lelaki yang memandu kami, selebihnya semua wanita. Jalan kelihatan agak lengang manakala kedai-kedai pun masih belum dibuka. Kami berjalan santai dan berhenti di sebuah arca bongkah segi empat sama yang tertulis 1.7.2013 iaitu tarikh bersejarah penyertaan Croatia dalam Kesatuan Eropah (EU). Tidak jauh ke hadapan, terdapat beberapa gerai menjual buah zaitun dan produk-produk buatan tangan tempatan baru dibuka. Kemudian kami berkumpul mengelilingi sebuah model Bandar Zagreb bersalut gangsa di atas sebuah tapak setinggi lutut sambil pemandu pelancong menunjukkan arah bangunan-bangunan serta laluan utama. Semakin kami menghampiri dataran utama, semakin banyak kelihatan gerai-gerai menjual lilin dan jambakan bunga. Pemandu pelancong memberitahu bahawa hari Jumaat merupakan hari masyarakat Kristian menziarahi Perkuburan, maka kedai-kedai banyak ditutup termasuklah Dolac Market yang popular itu. Kami terus berjalan ke arah sebuah dataran yang mana di tengah-tengahnya terdapat sebuah pancuran air bersama Monumen Virgin Mary bersadur cat emas. Menghadap pancur tersebut ialah sebuah gereja Katolik besar berciri Neo-Gothic iaitu Zagreb Cathedral sedang dibaik pulih. Keterujaan kami untuk mengambil gambar agak terbatas kerana kehadiran unsur-unsur agama Kristian. Di sebelah gereja tersebut, kelihatan sebuah tembok pertahanan lama beserta menara kawalan yang masih utuh. Menurut sejarah, ia dibina sebagai persediaan menghadapi ancaman serangan Empayar Turki Uthmaniyyah yang ketika itu telah memasuki Croatia pada akhir kurun ke-15. Kami seterusnya dibawa ke Ben Jelacic Square melalui pasar Dolac, kedai-kedai cenderamata dan restoren-restoren. Di sepanjang laluan, kami berjumpa dua patung logam; yang pertama ialah pemuda bernama Petrica Kerempuh sedang bermain mandoilin sedang dua orang lagi mati terikat di sebatang tiang. Patung yang kedua ialah Marija Juric Zagorka yang merupakan wartawan pertama Croatia, tokoh hak asasi wanita dan antara penulis Croatia yang paling popular. Memandangkan beberapa lokasi lawatan seperti Lotrscak Tower dan St Mark Church agak jauh dan laluannya sedikit berbukit, tidak semua kami mengikutinya. Setelah poin dan masa pertemuan ditentukan, masing-masing mula mencari arah sendiri, ada yang ke kedai cenderamata Barbara berhadapan Dolac Market, ada yang berlegar di sekitar Dataran Ben Jelacic dan ada yang ke restoren menikmati kopi panas. Bergambar beramai-ramai di hadapan Ben Josip Jelacic Monument menjadi aktiviti terakhir kami di situ. Count Josip Jelacic merupakan seorang bekas tentera yang dilantik menjadi Gabenor Croatia di bawah Empayar Austria yang membantu mematahkan penentangan Nasionalis pada tahun 1848. Pada jam 11.15 pagi, bas menjemput kami sekali lagi ke Zagreb Islamic Center di mana kami dihidangkan Cevapi buat kali ketiga, kali terakhir dan Alhamdulillah, yang paling sedap. Daging dan roti yang tidak habis kami bungkus untuk dimakan kemudian.

Selesai makan, kami terus bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zagreb, yang menandakan berakhirnya Kembara Balkan kami. Ucapan akhir diberikan oleh Mr Mehmet, En. Azfar Wijaya sebagai wakil tetamu dan aku sendiri sebagai Ketua Kembara di atas bas. Penghargaan dan terima kasih turut disampaikan kepada Tuan Pemandu, Mr Sasko yang sangat mesra dan berhemah.

Setibanya di airport, aku dan tetamu-tetamu lelaki bersalam-salaman, berpelukan dan bergambar dengan pemandu serta Tour Guide. Sebelum lambaian perpisahan, aku sempat menghulurkan sedikit tip yang disumbangkan jemaah untuk mereka berdua. Setelah menyelesaikan urusan check-in, kami ke surau bagi menunaikan solat Zohor dan Asar sebelum berangkat ke balai perlepasan. Sebelum berangkat, Pn Hamidah membahagikan potongan kek sempena meraikan ulangtahun kelahiran suaminya, En. Mubin, termasuk ulangtahun perkahwinan 2 pasangan tetamu. Kami dijadualkan terbang pada jam 3.05 petang ke Doha, namun berlaku sedikit kelewatan selama 20 minit. Kira-kira 6 jam 30 minit kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Hamad untuk transit selama 4 jam sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

HARI KE-10: SABTU, 2 NOVEMBER 2019

Sementara menunggu maklumat penerbangan QR848 muncul di papan informasi, aku bersama beberapa tetamu lelaki ke surau bagi menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara berjamaah. Kemudian, medan selera menjadi ‘pelabuhan’ kami untuk minum serta mengalas perut. Sebaik pintu boarding diketahui, kami bergerak ke ruang menunggu seterusnya. Di situ kami sempat berkenalan dengan jemaah Malaysia lain serta berkongsi cerita kembara masing-masing. Ianya tidak lama sebelum panggilan berlepas dibuat lalu kami beratur panjang ke bahagian pemeriksaan. Tepat jam 3.10 pagi waktu Doha, pesawat yang membawa kami menaikkan rodanya. Bayangan keluarga tercinta dan makanan dirindui perlahan-lahan melintas di fikiran.

Kembara 8 hari 7 malam di 5 negara Balkan bersama 22 orang tetamu ini pastinya menyimpan seribu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Kepada semua tetamu Mursyid Alharamain Travel & Tours, salam mahabbah, semoga ukhuwwah berkekalan dan bertemu lagi di lain masa.