Alhamdulillah, pengembaraan kami ke Turki bermula pada 20 Disember 2018. Pelbagai keindahan ciptaan Allah terdapat di bumi Turki ini. Lokasi pertama kami ketika berada di bumi Turki adalah di Bandar Istanbul.

20 Disember 2018 – Hari Kedua : ISTANBUL

03-umrahstandard

Pagi ini kami memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Ataturk ke Istanbul. Kami meneruskan perjalanan kami dengan menziarahi lokasi pertama iaitu di Muzium Hagia Sophia (Aya Sofia). Apakah yang menarik pada muzium ini? Muzuim ini pada asalnya adalah sebuah gereja yang telah beroperasi selama 5 abad. Ketika zaman empayar Uthmaniyah yang dipimpin oleh Sultan Muhammad Al Fateh, gereja ini sudah ditukar menjadi sebuah masjid. Keunikan masjid ini mempunyai 6 buah menara. Lalu pada tahun 1935M, masjid ini berubah menjadi sebuah muzium di bawah pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk sehingga kini.

03-umrahstandard

Berkunjung ke Turki, rugi rasanya kalau tidak melihat keindahan dan keunikan Blue Mosque atau Masjid Biru. Masjid ini adalah masjid pertama yang dibina oleh Sultan Ahmed sebagai lambang kehebatan empayar Turki pada ketika itu. Cirinya yang paling menonjol ialah ia dihiasi dengan 20 ribu kepingan jubin yang berwarna biru, hijau dan putih. Masjid Biru Istanbul dibina di antara 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmed I. Baginda membina Masjid Biru untuk menandingi bangunan Hagia Sophia yang dibina maharaja Byzantine. Seterusnya kami meneruskan pengembaraan kami ke Istana Topkapi. Apa yang menarik di sini adalah, terdapat beberapa barang peninggalan barang-barang Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Istana ini adalah istana paling besar dan paling tertua di dunia. Dicatatkan dalam sejarah tidak kurang dari 24 orang sultan telah mendiami istana ini, selama 4 abad pemerintahan Kesultanan Uthmaniyah. Selain sebagai tempat kediaman sultan, Istana Topkapi juga merupakan pusat Turki pada masa lalu. Istana Topkapi terletak di atas bukit. Dari sini para pelawat boleh melihat betapa indahnya pemandangan Selat Bosphorus dan Laut Marmara.

03-umrahstandard

Kami meneruskan perjalanan kami ke Bhosphorus Cruise. Kata orang, lawatan ke Istanbul tidak lengkap tanpa pengalaman bersiar-siar menyusuri selat Bosphorus dengan bot. Aktiviti ini sangat menarik kerana selain dari menghayati panorama yang indah dan menakjubkan, ia juga mengujakan kerana apabila berada di situ kita sebenarnya berada di dua buah benua, kiri Eropah, kanan Asia. Bila berada di sini kita juga dapat membayangkan dan mengimbau kembali bagaimana Sultan Muhammad 11 telah menakluk konstantinopel pada tahun 1453.

03-umrahstandard

Kegembiraan para rombongan kelihatan di wajah mereka walaupun dalam keadaan kepenatan seharian berjalan. Kami mengakhiri perjalanan kami pada hari ini dengan makan malam di restoran makanan laut bawah Jambatan Galata sebelum menuju ke hotel untuk berehat.

21 Disember 2018 – Hari Ketiga : ISTANBUL – BURSA – KUSADASI

Kami meneruskan pengembaraan kami seawal jam 7.00 pagi. Lokasi pertama kami ketika sampai di Bursa adalah di Grand Mosque. Keunikan di masjid ini adalah setiap dinding dan tiang masjid ini di ukir dengan tulisan khat hasil daripada seni tangan sendiri. Masjid ini adalah di antara 5 masjid yang teragong dalam Islam.

03-umrahstandard

Seterusnya kami dibawa menuju ke Green Mosque yang di mana masjid ini juga sangat unik kerana dinding di bahagian dalamnya dihiasi dengan corak batu seramik yang cantik berwarna hijau. Di bahagian hadapan Green Mosque terdapat juga Maqam Sultan Mehmed II dan ahli keluarganya.

03-umrahstandard

03-umrahstandard

22 Disember 2018 – Hari Keempat : KUSADASI – SELCUK – PAMUKKALE

Hari ini adalah hari ketiga kami berada di Turki. Seperti hari sebelumnya, hari ini juga kami memulakan perjalanan di awal pagi pada jam 7.00 pagi. Kali ini, kami meneruskan perjalanan dengan melawat kedai Fesyen pakaian dan Jaket Kulit yang sangat berkualiti. Banyak pilihan dan pelbagai reka bentuk Jaket Kulit yang diperagakan. Setelah puas membeli belah di kedai Jaket Kulit ini, kami meneruskan perjalanan ke ladang limau mandarin. Di sini kami diberi peluang memetik sendiri buah limau tersebut dalam keadaan yang sangat sejuk dan menyegarkan.

03-umrahstandard

Ketika hari menjelang petang, kami meneruskan perjalanan kami ke lokasi terakhir iaitu di Travertine Pool with White Terrace. Di sini, kami diberi lagi pengalaman yang berharga iaitu menikmati keindahan dan kejadian yang Allah ciptakan terhadap muka bumi ini. Yang menariknya di sini adalah terdapat beberapa buah kolam air panas yang dikelilingi dengan mendapan batu kapur yang berwarna putih seakan-akan seperti timbunan salji. Ia juga dikenali sebagai Cotton Castle (Istana Kapas). Di sekitar ini juga terdapat beberapa tempat yang sangat menarik perhatian kami antaranya ialah bangunan Heriapolis. Ia seakan-akan berbentuk seperti bangunan Colloseum.

03-umrahstandard

23 Disember 2018 – Hari Kelima : PAMUKKALE – KONYA – CAPPADOCIA

Alhamdulillah, hari ini kami masih lagi di Pamukkale. Aktiviti pada hari ini kami mulakan dengan menaiki Hot Air Balloon di kawasan Pamukkale. Kami diberi saranan dari Tour Guide supaya menaiki Hot Air Ballon di sini bukan di Cappadocia kerana dikhuatiri cuaca di Cappadocia tidak mengizinkan.

03-umrahstandard

Setelah puas menikmati pemandangan yang sangat indah di Pamukkale, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Cappadocia. Walaupun perjalanan hari ini sangatlah jauh dan lama, tetapi seperti biasa kami akan berhenti di beberapa tempat untuk menghilangkan lenguh, ke tandas, makan tengahari dan solat. Dalam perjalanan menuju ke Cappadocia, kami berhenti seketika di perkampungan Konya. Konya adalah Bandar ke-7 terbesar di Turki. Menurut kata Tour Guide kami, hampir 62 peratus daripada wanitanya berhijab. Di Konya juga sinonim dengan seorang tokoh besar sufi iaitu Syeikh Jalaluddin Ar Rumi yang lebih dikenali sebagai Mevlana di kalangan pengikut-pengikutnya. Di sini, kami semua dibawa menziarahi Maqam Syeikh Mevlana Jalaluddin Ar Rumi. Apa yang membuatkan kami teruja disini adalah terdapat juga peninggalan beberapa helai janggut mulia Baginda Nabi S.A.W yang tersergam indah disimpan rapi didalam sebuah kotak peti berkaca.

03-umrahstandard

Akhirnya, setelah beberapa jam kami di sini, kami bertolak semula ke Cappadocia yang menjangkau perjalanan lebih kurang 4 dan 5 jam. Walaupun perjalanan yang jauh, tapi kami dihidangkan dengan pelbagai keindahan ciptaan Allah S.W.T sehingga menghilangkan segala kepenatan kami semua.

24 Disember 2018 – Hari Keenam : CAPPADOCIA

Alhamdulillah, hari ini kami menghabiskan masa sepanjang hari di Cappadoccia, melawat tempat-tempat menarik yang menjadi kegemaran para pelancong dari dalam dan luar Negara. Apa yang menarik di sini ialah landskap muka buminya yang agak unik dan ajaib. Sebahagian dari kawasan ini telah menjadi Warisan Dunia UNESCO. Di kawasan ini telah berlaku proses penghakisan pada permukaan batu yang lembut oleh angin dan air selama berjuta-juta tahun sehingga mencorakkannya menjadi seperti hutan bukit yang menyerupai seperti cendawan yang digelar “Fairy Chimneys”.

03-umrahstandard

Kami meneruskan perjalanan kami menuju ke sebuah butik barang kemas dan batu-batu permata yang sangat cantik dan berkualiti. Antara yang sangat dicari ramai adalah Batu Zultanite kerana batu ini hanyalah terdapat di bumi Turki sahaja. Yang menariknya batu ini akan berubah warna mengikut pencahayaan di sekelilingnya. Seterusnya kami menziarahi sebuah perkampungan bawah tanah (Under Ground City) yang telah dibina oleh penduduk di sini untuk melindungi mereka dari pihak musuh pada satu ketika dahulu. Tempat ini juga dikenali sebagai Bandar bawah tanah paling besar di dunia. Kami juga dapat pengalaman yang “extreme” kerana sebahagian dari kami dapat menaiki kereta 4WD menyelusuri jalan-jalan yang agak mencabar untuk memasuki kawasan perkampungan ini. Setelah mencungkil pengalaman berada di bawah tanah, kami di bawa ke kilang pembuatan tembikar dan seramik yang sangat cantik. Di sini kami dihidangkan dengan demo atau cara pembuatan tembikar seramik dengan cara tradisional. Seterusnya kami di bawa ke kilang sutera dan karpet yang mempunyai pelbagai corak dan warna yang sangat-sangat berkualiti mutu pembuatannya. Di sini juga mereka menyediakan kepada kami demo khusus bagaimana cara membuat benang sutera dripada kepompong ulat sutera yang digunakan dalam industri permaidani mereka.

25 Disember 2018 – Hari Ketujuh : CAPPADOCIA – ERCIYES SKI – ANKARA

Pagi ini, kami meneruskan perjalanan juga pada awal pagi seawal 7.00 pagi. Perjalanan pada hari ini adalah perjalanan yang sangat-sangat kami nantikan iaitu menikmati pengalaman bermain salji di atas bukit Erciyes Ski. Ketika sampai di sini, kami diberi peluang sendiri bermain salji dan bermain ski yang sangat menyeronokkan walaupun dalam keadaan yang sangat sejuk. Ini adalah pengalaman kami yang pertama dapat bermain salji yang tidak terdapat di tanah air kita.

03-umrahstandard

Setelah kepenatan bermain salji dan ski, kami meneruskan perjalanan kami yang agak panjang iaitu menuju ke Ankara.

26 Disember 2018 – Hari Kelapan : ANKARA – ISTANBUL

Alhamdulillah, setelah sehari kami bermalam di Ankara, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Bandar Istanbul semula. Perjalanan dari Ankara ke Bandar Istanbul memakan masa yang agak lama juga kerana perjalanannya agak jauh. Di dalam perjalanan, kami dapat melihat keunikan dan kecantikan Salt Lake (Tasik Garam) dan Lautan Marmara yang sangat luas. Setibanya kami di Bandar Istanbul, kami di bawa ke satu tempat maqam yang sangat istimewa bagi kami semua iaitu maqam Saidina Abu Ayub Al Ansari. Siapakah beliau? Beliau adalah sahabat yang sangat mahsyur dan sangat rapat dengan Baginda Rasulullah S.A.W. Dan di sekitarnya juga terdapat banyak maqam-maqam yang dikenali sebagai maqam para Syuhada’. Setelah itu, kami di bawa ke satu tempat dikenali sebagai syurga membeli belah iaitu Grand Bazar. Tour Guide memberi kami masa yang agak lama untuk membeli belah. Kami menggunakan kesempatan masa ini dengan sebaiknya untuk membeli barang-barang yang ingin dihadiahkan kepada saudara mara dan sahabat handai ketika pulang ke Malaysia nanti.