KLIA – TEHRAN – ISTANBUL : 25 Nov 2018

Seramai 24 orang peserta telah menyertai kembara ke bumi Turki di bawah pakej pelancongan syarikat Mursyid al-Haramain. Menaiki penerbangan Mahan Air pada jam 11:35 pm daripada Kuala Lumpur menuju ke Tehran dan transit selama 3 jam kemudian meneruskan penerbangan ke Istanbul.

ISTANBUL – ANKARA : 26 Nov 2018

Sejurus tiba di Istanbul, waktu melewati jam 12:00 pm, peserta terus di bawa melawat Masjid Abu Ayyub al-Ansari dan menziarahi makam Sahabat Nabi tersebut. Penjelasan berkenaan sejarah beliau dan pengorbanan telah diberikan oleh tour guide. Kemudian ke Grand Bazaar dan kawasan sekitarnya serta menunaikan solat fardhu Zohor di Masjid Nur Osmaniyya yang telah dibina pada tahun 1755 semasa pemerintahan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Pada jam 2:30 pm, kesemua peserta telah menaiki bas dan kami memulakan perjalanan menuju ke Ankara. Dalam perjalanan ke Ankara, peserta telah disajikan dengan makanan tradisi Turki iaitu Kofte daging. Peserta tiba di tempat penginapan di Ankara kira-kira jam 9:30 pm. Sejurus tiba, peserta dijamu makan malam dan kemudian merehatkan diri setelah seharian berjalan.

ANKARA – CAPPADOCIA : 27 Nov 2018

Selepas sarapan pada jam 7:00 am, peserta telah berkumpul dan bersedia untuk memulakan lawatan hari tersebut tepat jam 8:30 am. Tempat lawatan pertama yang dilawati adalah makam pengasas Republik Turki iaitu Mustafa Kamal Ataturk yang dikenali sebagai Anitkabir. Peserta diberikan masa untuk melawat tempat-tempat sekitarnya dan merakam foto kenangan di kawasan yang cantik dan indah. Selepas selesai di kawasan tersebut, kami memulakan perjalan menuju ke Cappadocia. Dalam perjalanan tersebut peserta telah dibawa melawat tasik garam semulajadi yang dikenali sebagai Tuz Golu. Tasik ini membekalkan 90% garam di pasaran Turki. Di kawasan tasik itu juga, peserta telah dijamu makan tengah hari dengan makanan citarasa Turki yang enak. Selepas itu, peserta menyambung perjalanan menuju ke tempat lawatan seterusnya iaitu Chardak Underground Village. Kawasan ini ditemui oleh seorang penternak biri-biri apabila anak biri-biri terjatuh ke dalam satu lubang. Lalu, penternak tersebut menggali dan mendapati bahawa terdapat ruang yang besar di bawah rumahnya dan terbahagi kepada beberapa ruang antaranya dapur, ruang tamu, kandang dan lain-lain. Dikatakan bahawa ruang bawah tanah itu digunakan oleh orang terdahulu jika kawasan mereka diserang oleh musuh. Peserta telah dibawa menelusuri kawasan bawah tanah tersebut dan mengambil foto kenangan di kawasan tersebut. Selepas itu, peserta telah dibawa menuju ke kilang karpet untuk melihat sendiri kaedah pembuatan karpet secara tradisional. Peserta telah didedahkan dengan cara pembuatan dan bahan-bahan semula jadi yang digunakan dalam pembuatan tersebut. Setelag seharian berjalan, para peserta telah dibawa ke tempat penginapannya di Cappodocia dan tiba di tempat tepat jam 7:00 malam dan seterusnya menikmati makam malam di hotel tersebut.

CAPPADOCIA : 28 Nov 2018

Aktiviti hari ini telah dimulakan dengan sarapan pada jam 6:30 am. Pada jam 8:30 am pula, para peserta telah berkumpul dan bas bergerak menuju ke destinasi lawatan yang pertama iaitu Goreme Open Air Panorama. Kawasan bukit-bukau daripada batu yang telah dikorek dan dijadikan sebagai tempat tinggal oleh manusia kira-kira 2000 tahun dahulu. Ketika itu, penduduk kawasan tersebut adalah beragama Kristian. Terdapat pelbagai gerai jualan di kawasan tersebut dan ada peserta yang menikmati secawan teh Turki dengan pemandangan kawasan tersebut. Kemudian peserta telah dibawa ke kilang emas, perak dan batu untuk melihat sendiri pembuatan barang kemas di Turki. Antara yang dijual adalah Batu Sultanite, Delima dan lain-lain lagi. Seterusnya, mereka telah dibawa ke kilang tembikar dan telah didedahkan dengan kaedah pembuatan tembikar di Turki. Pelbagai jenis rupa bentuk tembikar terdapat di kilang tersebut. Apabila waktu makan tengah hari, peserta telah dijamu dengan makanan tradisi Turki iaitu daging yang dimasak di dalam tembikar. Semua peserta menikmatinya dengan lazat. Selepas itu, peserta telah menunaikan solat Zohor di masjid berhampiran dan berjalan-jalan di pasar rakyat berhampiran tempat tersebut. Dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, peserta telah dibawa untuk membeli-belah di kedai menjual kacang-kacang dan makanan kering kemudian ke Pigeon Valley untuk menikmati pemandangan kawasan tebing bukit yang terdapat di situ banyan burung merpati. Peserta telah pulang ke tempat penginapa tepat jam 4:00 pm. Pada jam 7:00 pm, para peserta menikmati makan malam yang telah disediakan.

CAPPADOCIA – PAMUKKALE : 29 Nov 2018

Seawal jam 7:15 am, selepas menikmati sarapan, rombongan peserta telah memulakan perjalanan ke bandar setersunya iaitu Pamukkale. Dalam perjalanan, peserta telah dibawa melawat Caravansary yang terbesar di Turki. Caravansary adalah bangunan yang telah dibina oleh kerajaan dahulu untuk para pedagang berehat setelah menempuhi perjalan yang jauh. Kemudian perjalanan diteruskan lagi dan kemudiannya singgah di kawasan Konya yang merupakan bandar agama bagi Turki. Di bandar tersebut peserta telah dibawa melawat makam tokoh sufi Maulana Jalalluddin al-Rumi yang terkenal dengan kitbanya “fihi ma fihi”. Peserta melawat kawasan sekitarnya yang mempamerkan barang-barang tinggalan maulana serta makamnya yang terletak di dalam kawasan masjid tersebut. Perjalanan yang jauh diteruskan lagi ke Pamukkale yang kemudian singgah di sebuah restoran untuk menghilangkan penat dan meregangkan otot para peserta. Peserta telah dihidangkan dengan makanan Turki iaitu Yogurt yang dicampur dengan madu dan biji popi. Akhirnya tepat jam 7:00 am peserta tiba di hotel penginapan seterusnya menikmati makan malam dan merehatkan diri.

PAMUKKALE – KUSADASI : 30 Nov 2018

Pada jam 7:15 am, bas telah bertolak memulakan hari lawatan kelima dengan menuju ke Hieropolis. Di situ terdapat kesan-kesan peninggalan sejarah manusia pada zaman Rom Yunani. Antara binaan yang menarik di situ adalah Open Theatre yang telah dibina beribu tahun dahulu. Dahulunya Hieropolis adalah kawasan bandar yang didiami oleh ramai manusia. Bersebelahan dengan Hieropolis terdapat pula kolam-kolam air panas semual jadi yang telah wujud ribuan tahun. Peserta telah diberikan masa untuk menikmati kolam air panas tersebut sambil bergambar kenangan di kawasan yang indah tersebut. Namum, dalam masa yang sama sebahagian peserta tidak direzekikan untuk menaiki belon udara panas akibat cuaca yang tidak mengizinkan. Selepas itu, peserta telah menikmati makan tengah hari di resetoran berhampiran. Selepas itu, sebahagian peserta telah dibawa ke Ephesus dan sebahagian lain telah dibawa ke kebun Limau Mandarin dan Delima. Selepas selesai semuanya, peserta telah dibawa ke hotel penginapan di Kusadasi dan menikmati makan malam mereka di sana.

KUSADASI – ISTANBUL : 1 Dis 2018

Pada jam 7:15 am, selepas menikmati sarapan, peserta telah dibawa ke kilang kulit untuk melihat pembuatan pakaian daripada kulit binatang. Satu persembaham fesyen telah diperlihatkan kepada peserta. Di kilang tersebut terdapat banyak produk hasil daripada kulit dijual dengan harga yang berpatutan. Selepas itu, peserta telah dibawa melawat satu kawasan sejarah iaitu Artemis Temple yang telah dibina beribu tahun sebelum masihi. Daripada kawasan tersebut dapat dilihat tiga binaan gah yang masih berdiri kesemuanya mewakili zaman kegemilanganya seperti Masjid Isa Bya (zaman Turki Uthmaniyyah) dan St. John Temple (zaman Byzantine). Selepas itu, peserta telah bertolak menuju ke Bursa untuk tentatif lawatan seterusnya iaitu Masjid Ulu Cami. Masjid tersebut dibina pada zaman Turki Uthmaniyyah dan mempunyai kisah yang panjang disebalik pembinaanya. Selepas itu, peserta telah dibawa melawat ke pasar sutera, Green Tomb dan Green Mosque yang terdapat di sekitar kawan Bursa. Selepas selesai semuanya, kami menyambung perjalanan ke Istanbul dan minikmati makan malam di sebuah restoran iaitu Yuduf Kofte dan tiba di hotel pada jam 10:00 pm.

ISTANBUL : 2 Dis 2018

Jam 8:15 am, para peserta telah bergerak menuju ke kawasan lawatan sekitar Kota Istanbul. Tempat lawatan pertama adalah Topkapi Palace. Istana tersebut adalah binaan pada zaman Turki Uthmaniyyah. Peserta telah dibawa melawat ke kawasan sekitarnya dengan penerangan oleh Tour Guide Mr. Ozan. Pelbagai maklumat baru telah didapati oleh para peserta. Selain itu, di kompleks istana tersebut juga terdapat pameran barang-barang peninggalan Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan para sahabatnya. Antara yang dipamerkan adalah pedang Baginda sallallahu alaihi wa sallam, bekas minuman, janggutnya dan lain-lain lagi. Selepas itu, para peserta diberikan waktu untuk berjalan-jalan di kawasan sekitarnya dan merakam foto kenangan. Kemudian, peserta telah dibawa menaikan Bosphorus Cruise untuk menikmati pemandangan kota Istanbul daripada laut. Perjalanan kira-kira sejam situ dengan penerangan oleh tour guide berkenaan sejarah-sejarah yang terdapat di tebing sungai tersebut. Selepas itu, para peserta telah dibawa ke sebuah restoran untuk menikmati makan tengah hari. Kemudiannya mereka telah dibawa membeli-belah di pasar herba yang terkenal di Istanbul. Pelbagai cenderamata, makanan, herba, pakaian dan lain-lain lagi produk ada dijual di pasar tersebut. Selepas itu, para peserta dibawa ke Masjid Biru ataupun Masjid Sultan Ahmad. Peserta telah menunaikan solat Asar di sana dan kemudiannya dibawa ke Aya Sofia. Malangnya tempat tersebut masih ditutup untuk kerja-kerja penaiktarafan sebagai masjid. Dahulunya Aya Sofia adalah kuil pada zaman Byzantine, kemudia dijadikan masjid pada zaman Turki Uthmaniyyah, kemudian muzium, kemudian yang terbaru dijadikan sebagai masjid semula.

ISTANBUL – KLIA : 3 Dis 2018

Jam 7:30 am, selepas sarapan, peserta telah menaiki bas dan menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Menaiki pesawat Mahan Air yang berlepas pada jam 11:35 am, menuju ke Tehran dan transit selama 6 jam. Kemudiannya berlepas ke Kuala Lumpur pada jam 9:50 pm.

4 Dis 2018

Peserta lawatan selamat mendarat di Kuala Lumpur pada jam 10:20 am.

 

Untuk maklumat lanjut tentang harga percutian ke Turki, anda boleh tekan di bawah :