MENEROKA 7 BUAH BANDAR DI TURKI : PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan Sekalian Alam yang telah mengizinkan saya bersama-sama dengan 46 orang ahli rombongan daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang, selamat berkelana di Negara Turki dan selamat juga kembali ke Tanah Air tercinta Malaysia. Rombongan kami bertolak pada 11 November yang lepas dan selamat kembali ke tanah air pada 20 November 2018. Rata-rata daripada kami amat seronok mengembara di bumi Turki, bukan sekadar seronok berjalan ke tempat orang dan membeli belah di macam-macam Bazaar di sana, bahkan sempat mengambil Ibrah (pengajaran) dalam permusafiran kami di sana berkait bagaimana Tamadun Islam pernah satu ketika dahulu bertapak di sana dan tinggalannya masih ada sehingga hari ini.
Istanbul – Ankara – Kapadokya – Konya – Pamukkale – Kusadasi – Bursa – Istanbul
Begitulah perjalanan kami semenjak daripada ‘touch down’ di Ataturk International Airport sehingga kembali ke situ semula. 7 buah bandar yang kami singgah masing-masing menawarkan pengalaman yang berbeza daripda satu sama lain. Tidak jemu mata dan minda melihat keunikan masyarakat, keindahan ciptaan Allah SWT sepanjang perkelanaan ini.
Hari Pertama, 12 Nov : Istanbul – Ankara
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk sekitar jam 9.30 a.m. Ketika itu, Pemandu Pelancong kami En. Adam dan En Tugrul (sebutan nya Turu) sudah pun bersedia menyambut ketibaan kami di sana. Kebetulan, berlaku 2 insiden. Seorang Jemaah begnya pecah, lalu En. Tugrul membantu untuk membuat tuntutan bagasi yang rosal di kaunter tuntutan. Tampak jelas bagaimana budaya orang Turki benar-benar berusaha untuk meraikan tetamu yang hadir ke negara mereka. Seorang lagi Jemaah telah tertinggal telefon bimbitnya yang dicas di lobi bangunan ketibaan. Sempat beliau berlari untuk mengambil semula, tetapi telefonnya sudah tiada di tempat itu… Dan kisah telefon bimbit ini tidak berakhir di sini.
Oleh sebab masa yang semakin suntuk dan perjalanan kami yang jauh, maka kami terpaksa bergerak juga menuju ke tengah-tengah kota Istanbul untuk persinggahan yang pertama, Grand Bazaar.
Sesiapa yang sampai Istanbul dan tidak sampai ke Grand Bazaar, maka, dia belum sampai ke Istanbul yang sebenar-benarnya. Dan Sesiapa yang pergi ke Turki dan tidak sampai ke Istanbul, dia belum sampai ke Turki yang sebenar-benarnya. Seloroh Pemandu Pelancong kami.
Masakan tidak! Dalam Grand Bazaar sahaja ada lebih 100 lorong dan dikatakan lebih 4000 buah kedai yang berada di dalam Kawasan tersebut! Carilah apa produk Turki yang anda mahukan, pasti dijumpai!
Setelah sejam membeli belah, ada yang dapat hasilnya ada pula yang sekadar window shopping, kami pergi makan tengahari di sebuah Restoran terletak di bawah Jambatan Galata. Kami menyaksikan sendiri keindahan selat Bosphorus yang dihiasi dengan latarbelakang bangunan lama serta baru, masjid dan gereja, satu pemandangan yang menakjubkan! Setelah makan tengahari, kami bertolak ke Ankara untuk bermalam di sana.
Dalam perjalanan ke Ankara yang memakan masa tidak kurang 6 jam jarak memandu, kami singgah di sebuah RnR yang dibina untuk menyokong tentera Turki di perbatasan. Sebahagian hasil pembelian barang-barang, sumbangan yang dibuat di RnR tersebut akan disalurkan terus ke tabung angkatan tentera Turki, khususnya untuk kebajikan mereka di perbatasan juga untuk keluarga mereka. Memahami kedudukan Turki yang bersempadan dengan Negara Syria, Iraq, yang ada berlaku pergolakan di situ, memang layak inisiatif yang dibuat oleh Presiden Erdogan ini.
Kami tiba di Ankara sekitar jam 9.00pm dan makan malam di hotel sebelum naik tidur.
Hari Ke-2, 13 Nov: Ankara – Kapadokya
Hari ke-2 kami bertolak ke Bandar Ankara, ibu negara Turki dan singgah di Perkarangan Istana Erdogan. Kompleks yang mempunyai lebih daripada 1000 buah bilik dan dikatakan lebih besar daripada White House telah dibina oleh Presiden Erdogan dan memakan masa kurang lebih 3 tahun untuk disiapkan. Dalam kompleks ini tersergam sebuah Masjid Negara yang dijadikan simbol negara Turki ditadbir oleh Islam pada zaman moden ini. Meskipun mendapat tentangan daripada sebahagian masyarakat Turki, namun, Presiden Erdogan Berjaya menyiapkan kompleks tersebut dengan jayanya. Masyarakat di bawa untuk menziarahi kompleks tersebut untuk menyaksikan jika dahulu Turki pernah menjadi pusat ketamadunan Islam suatu ketika dahulu, tidak mustahil perkara yang sama dapat dilaksanakan pada zaman moden ini.
Seterusnya kami singgah ke kompleks Makam Kamal Ataturk sebagai salah satu usaha memahami sejarah Turki. Boleh dikatakan tempat ini adalah tempat yang akan disinggahi oleh majoriti masyarakat Turki sebagai memperingati jasa tokoh negarawan Turki membentuk Negara Turki moden baru pada tahun 1923. Kebetulan pula 11 November adalah Tarikh kematian Mustafa Kamal Ataturk, makanya sepanjang minggu itu dijadualkan banyak rombongan kanak-kanak sekolah, termasuk orang perseorangan, yang hadir ke sana untuk memberi penghormatan kepada Mustafa Kamal Ataturk.Satu perkara yang kami pelajari di sini adalah dengan mengenal sejarah perjuangan orang-orang terdahulu, Bangsa Turki mampu untuk mempertahankan identiti diri mereka sebagai orang Turki. Sepatutnya begitu juga kita orang Malaysia, memahami susur galur perjuangan para pejuang kemerdekaan Tanah Air Tercinta Malaysia selayaknya membuatkan kita berbangga menjadi Rakyat Malaysia dan mengekalkan keharmonian yang wujud di sini sekian lama.
Kami bertolak menuju ke Kapadokya sekitar jam 11.30am dan perjalanan mengambil masa kurang lebih 5 jam perjalanan. Dalam perjalanan ke Kapadokya, kami singgah makan tengahari dan seterusnya singgah ke Tasik Garam – Tuz Golu untuk melihat keajaiban ciptaan Allah SWT. Tasik yang ke-2 terbesar di Turki dan salah satu Tasik Masin terbesar di dunia ini mempunyai kandungan garam yang lebih banyak berbanding laut mati serta merupakan tempat penghasilan garam utama di Turki. Ketika ini, air tasik telah kering setelah melalui musim panas dan luruh sebelum memasuki musim sejuk. Tampak jelas butiran garam di atas tanah tempat kami berpijak. Dan pada musim bunga, tasik ini akan kembali berair bukan kerana ada sungai ataupun air laut yang mengalir ke dalamnya, tetapi atas factor hujan turun dan faktor air dalam tanah yang keluar memenuhi tasik tersebut. Sungguh ajaib ciptaan Allah SWT!
Setibanya di daerah Kapadokya, kami melawati Lembah Urchisar di mana suatu ketika dahulu wujudnya kumpulan manusia yang hidup di celah-celah batu bukit. Batu bukit ini hasil daripada letusan gunung berapi satu masa dahulu, menyebabkan batunya poros dan mudah untuk dikikis dan membentuk ruang dalam bukit. Keunikannya lagi suhu di dalam batu tersebut kekal pada satu suhu sederhana yang sesuai dengan perubahan suhu dan cuaca di kawasan Kapadokya. Sebelum kami pergi ke hotel untuk makan malam dan berehat, kami singgah ke sebuah kilang seramik dan melihat bagaimana orang Turki menghasilkan produk seramik dengan pengaruh budaya Turki, setelah satu ketika dahulu mereka menggunakan seramik daripada Tanah Besar China. Hasil seramik mereka memang sangat mengujakan!
Selesai di situ, kami pergi ke hotel di Pekan Urgup untuk makan malam dan berehat.
Hari ke-3, 14 Nov: Urgup – Uchisar Valley – Goreme
Awal pagi usai solat subuh, sebahagian daripada kami bangun untuk pergi ke tempat belon Udara Panas beroperasi. Malam sebelumnya kami dimaklumkan ada kemungkinan perkhidmatan belon udara panas tidak akan beroperasi atas factor cuaca yang tidak menginzinkan. Namun, kami teruskan juga ke tapak perlepasan untuk mengambil peluang mengambil gambar suasana belon udara panas beroperasi.
Rezeki kami pada hari tersebut, perkhidmatan belon udara panas tidak dapat beroperasi kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan. Cuaca pagi itu tidak mengizinkan untuk mereka beroperasi. Rombongan kami pulang ke hotel untuk makan sarapan pagi dan bergabung dengan ahli rombongan yang lain untuk meneruskan perjalanan ke sekitar Kapadokya.
Kami dibawa melawat ke kawasan Devrent, kawasan pembentukan bentuk muka bumi secara semulajadi yang menghasilkan bentuk haiwan dan beberapa bentuk yang unik lain. Seterusnya kami ke Pasabag, tempat yang suatu ketika dahulu menjadi perkampungan orang Turki sebelum zaman pembukaan Islam di Turki. Di perkampungan tersebut ada struktur bangunan yang menjadi tempat kediaman, ada juga struktur yang dijadikan gereja. Bentuk perkampungan tersebut juga sangat unik kerana selain daripada kawasan kediaman yang terhasil daripada torehan manusia, bentuk luaran struktur tersebut hasil daripada hakisan angin membentuk bangunan seakan-akan rumah yang berbumbung. Walhal, keseluruhannya adalah batu belaka cuma berlainan jenis!
Seterusnya perjalanan diteruskan dengan kami melawati sebuah kilang barang kemas yang diperbuat daripada hasil bumi Turki sendiri. Batu Turqoise – dipercayai berasal daripada perkataan ‘Turkish Quartz’ – dan Batu Zultanite – batu yang berubah warna mengikut cahaya yang dipancarkan kepadanya – sangat cantik dipandang dan menakjubkan cara penghasilannya! Setelah makan tengahari di Pekan Goreme, kami sempat berjalan-jalan di ‘Pasar Tamu’ pekan tersebut membeli beberapa hasil bumi tempatan yang segar dan murah. Buah Delima dan Pisang Kaki boleh didapati dengan harga 3 Lira sekilo, bersamaan lebih kurang RM2.60 sekilo. Besar-besar pula tu!
Kembara hari ke-3 kami disudahi dengan melawati Istana Ortahisar – istana atas bukit yang dihasilkan daripada torehan batu bukit, melawati kilang pembuatan permaidani dan menyaksikan demonstrasi penghasilan permaidani dengan pelbagai corak serta motif di situ, akhir sekali melawati sebuah Bandar Bawah Tanah Kaymakli dan menyaksikan sendiri bagaimana masyarakat setempat yang masih menggunakan sebahagian bandar bawah tanah tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Satu pengalaman yang sangat menarik dan pasti kekal segar dalam memori!
Hari ke-4, 15 Nov: Kapadokya – Kayseri – Konya – Pamukkale
Perjalanan daripada Kapadokya menuju ke Pamukkale mengambil masa kurang lebih 12 jam perjalanan, termasuk berhenti untuk makan tengahari serta singgah sebentar di Pekan Kayseri dan Bandar Konya.
Pada awal perjalanan, rezeki daripada Allah SWT turun dengan kami dapat menyaksikan ratusan belin udara panas beroperasi pada hari tersebut! Walaupun tidak dapat berhenti di tapak operasi belon udara panas, kami diberi kesempatan untuk berhenti seketika di satu kawasan dan bergambar dengan pemandangan yang unik dan indah bersama belon-belon udara panas di udara. Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Apa yang pasti, rezeki ini dalam genggaman Allah SWT. Jika pada hari sebelumnya kami tidak dapat menyaksikan belon udara panas beroperasi, hari ini Allah mengkabulkan hajat kami untuk mengalami peristiwa ini sendiri! SubhanAllah!
Persinggahan di Kayseri adalah untuk melihat struktur binaan Sultanhani Caravansary yang merupakan salah sebuah Caravansary terbesar di Turki. Caravansary boleh dikatakan sebagai sebuah RnR pada zaman Kerajaan Islam Seljuk, di mana pada ketika itu tempat ini berfungsi sebagai tempat para pedagang berehat sambil mendapatkan rawatan, menambah bekalan perjalanan, juga tempat berehat untuk haiwan perdagangan mereka selain menjadi kubu untuk melindungi barang-barang dagangan daripada perompak. Kewujudan karavansari-karavansari ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang baik bagi Kerajaan Islam Seljuk ketika itu.
Persinggahan di Konya, kami menziarahi muzium Mevlana yang menempatkan makam Maulana Jalaludin Al Rumi, tokoh sufi dalam dunia Islam terutamanya di Turki. Selain daripada makam Maulana Jalaludin Al Rumi, kompleks muzium ini turut menceritakan bagaimana perkembangan ajaran sufi di Turki dan sumbangannya kepada perkembangan Islam di Turki. Ajaran sufi ini telah berkembang sehingga melahirkan satu budaya Turki yang dipanggil Dervish Dancer – kaedah bertafakur dan memperingati Allah. Selesai di sini, kami bertolak ke Pamukkale dan tiba di hotel sekitar 8.30 pm untuk makan malam dan bermalam.
Hari ke-5, 16 Nov: Pamukkale – Selcuk – Kusadasi
Pamukkale – Istana Kapas – adalah sebuah daerah yang terkenal dengan penghasilan Kapas. Dengan penghasilan kapas ini banyak kilang tekstil yang dibina di kawasan ini. Pengembaraan kami pada hari ini bermula dengan sesi membeli belah di sebuah gudang tekstil yang menyajikan produk-produk tekstil berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Setelah itu, kami pergi ke kota lama Heriapolis yang dibina sekitar 200 tahun sebelum masihi. Kota lama Heriapolis ini penuh dengan monumen-monumen tinggalan seperti teater, rumah mandi Cleopatra dan runtuhan benteng kota. Dipercayai kota ini musnah disebabkan gempa bumi pada suatu ketika dahulu namun sebahagian hasil binaan masih wujud sehingga hari ini.
Bersebelahan dengan kota lama Heriapolis ini wujud struktur bentuk muka bumi Travertine – batu kapur yang terhasil daripada semburan geiser pada satu ketika dahulu di sekitar Pamukkale. Bentuk muka bumi ini menghasilkan satu kawasan lembah bukit yang sangat putih, di sebahagiannya mengalir air panas yang keluar daripada muka bumi. Pemandangan bentuk bumi ciptaan Allah SWT ini cukup membuatkan sekalian rombongan terpana dan insaf akan betapa hebatnya kekuasaan Allah SWT!
Perjalanan kami seterusnya singgah solat Jumaat di sebuah perkampungan berhampiran, makan tengahari dan bertolak ke Selcuk dan seterusnya ke hotel di Kusadasi, bandar pelancongan yang mempunyai salah sebuah pantai tersibuk di Turki. Di Selcuk, rombongan kami berpeluang mengalami sendiri masuk dan memetik buah di ladang mandarin. Turki merupakan salah sebuah negara pengeksport limau mandarin yang terbesar di dunia, selain daripada China. Kami tiba di hotel sekitar jam 9.00pm di Kusadasi untuk makan malam dan rehat.
Hari ke-6, 17 Nov: Kusadasi – Bursa – Istanbul
Perjalanan daripada Kusadasi kami mulakan seawal 7.00am kerana jarak perjalanan yang jauh. Sebelum bertolak sehingga ke Bursa, kami telah dibawa singgah ke sebuah kilang penghasilan barangan kulit dan dipersembahkan dengan pameran barangan kulit mini serta membeli belah di gudang barangan kulit tersebut. Seterusnya kami bertolak ke Bursa untuk menziarahi Masjid Besar Bursa dan Masjid Hijau,2 buah masjid yang mempunyai sejarah tersendiri di Turki. Kota Bursa sendiri merupakan kota yang penuh sejarah, di mana ia merupakan ibu kota kepada Kerajaan Turki Uthmaniah sebelum pembebasan kota Konstantinople (Istanbul hari ini). Bursa juga terkenal dengan penghasilan manisan Turki (Turkish Delights) yang mempunyai sejarah seawal zaman Kerajaan Turki Uthmaniah dan manisan di istana Sultan pada ketika itu datang daripada daerah Bursa.
Ziarah di Masjid Bursa, kami berkesempatan untuk menunaikan solat jamak taakhir Asar-Zohor. Seterusnya kami menziarahi Masjid Hijau dan bertemu dengan bilal masjid tersebut yang mempersembahkan kepada kami 5 laungan azan yang berbeza, yang digunapakai ketika masuknya 5 waktu solat sehari semalam. Berhampiran masjid tersebut juga kami menziarahi makam sultan Mehmed I, nenda kepada Sultan Mehmed ii – atau lebih dikenali sebagai Muhammad Al Fatih – yang telah membebaskan Kota Konstantinopel. Dikenali sebagai Masjid dan Makam Hijau adalah kerana jubin yang digunakan untuk membina bahagian dalam dan kubah masjid dan makam tersebut adalah berwarna hijau.
Perjalanan kami diteruskan dengan singgah di kedai manisan Munira untuk mendapatkan manisan Turki yang asli dan berkualiti tinggi sebagai ole-ole, seterusnya makan malam di RnR jambatan yang menghubungkan bahagian Asia dan Eropah Turki sebelum sampai di hotel penginapan kami di Istanbul untuk rehat.
Hari ke-7, 18 Nov: Jelajah Istanbul
Perjalanan hari ke-7 dimulakan dengan menaiki pelayaran mengelilingi Selat Bosphorus, tempat di mana berlaku peristiwa bersejarah penawanan Kota Konstantinople oleh Sultah Mehmed ii. Sepanjang pelayaran tersebut kami dapat melihat keindahan hasil peninggalan lama dan baru Kota Istanbul. Pada satu bahagian ia berada di benua Eropah, pada satu bahagian yang lain pula ia berada di benua Asia. Maka Istanbul adalah satu kota yang sangat penting dalam perjalanan perdagangan dunia pada zaman dahulu sehingga ke hari ini. Kota yang menjadi tempat himpunan pelbagai tamadun sejak dahulu lagi.
Selesai pelayaran di Selat Bosphorus, kami dibawa membeli belah untuk kesekian kalinya di Spice Bazaar. Walaupun tiada di dalam jadual perjalanan, pemandu pelancong cukup memahami kehendak rombongan yang masih berhasrat untuk membeli ole-ole untuk saudara serta rakan-rakan di Malaysia. Sejam di sana, kami seterusnya bertolak ke Masjid Sultan Eyup Al-Ansari, sahabat nabi yang telah dikebumikan di dinding Kota Konstatinople. Wasiatnya untuk dikebumikan di situ kerana pada hasratnya beliau ingin mendengar derap tapak kaki kuda pasukan tentera yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith tentang pembebasan Kota Konstantinople. Di masjid tersebut terletaknya makam sahabat nabi Ayub Al-Ansari r.a. dan juga kubur salah seorang rakyat Malaysia, Almarhum Ahmad Ammar Ahmad Azam yang meninggal dunia di Turki saat mahu bertolak ke kelas pengajarannya.
Destinasi seterusnya kami singgah makan tengahari di kawasan Fatih yang menempatkan Masjid Biru, Aya Sofia dan Muzium Istana Topkapi yang mempunyai beberapa hasil peninggalan Rasulullah SAW seperti bekas tapak kaki baginda dan janggut baginda. Kami berkesempatan untuk solat di Masjid Biru dan seterusnya melawati Muzium Topkapi sebelum bertolak ke Taksim Square untuk mengalami suasana salah satu kompleks yang paling sibuk di Istanbul. Taksim Square juga merupakan medan di mana rakyat telah berhimpun dan menggagalkan usaha Kudeta Turki pada tahun 2016. Hari ini, dataran ini meriah dengan perlbagai aktiviti antaranya yang kami sempat alami pameran kesenian Turki yang memaparkan banyak hasil seni bumi Turki, baik yang antik mahupun moden. Selesai di Taksim Square, kami makan malam di salah sebuah restoran berhampiran dan kembali ke hotel untuk bermalam.
Hari ke-8, 19 Nov: Pulang ke tanah air
Selesai seminggu pengembaraan kami di Turki. Perjalanan selama 7 hari ini banyak memberi peluang kepada kami untuk menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah SWT. Kami bersalaman dengan pemandu pelancong di lapangan terbang antarabangsa Ataturk dan mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal! Memori yang dibina bersama pasti diingati sampai bila-bila, sehinggakan, ada daripada kalangan rombongan memasang azam untuk kembali lagi bersama ahli keluarga masing-masing!
Dan sebelum kami masuk ke kawasan pintu perlepasan, jemaah yang tertinggal telefon bimbitnya telah mendapat berita gembira iaitu telefonnya telah ditemui oleh pihak keselamatan lapangan terbang dan disimpan oleh mereka selama kami berada di Turki! Sungguh, satu pengalaman yang mengujakan di mana inilah antara nilai-nilai Islam yang wujud dalam komuniti orang Turki pada hari ini! Alhamdulillah!
Ingin mengalami pengalaman mengembara di Turki? Masih ada kesempatan untuk pergi pada Januari dan Februari 2019!
Comment (0)