TANAH KELAHIRAN RASULULLAH SAW

Apa yang perlu diketahui mereka berada di tanah kelahiran Rasulullah SAW di situ juga baginda dimakamkan. Malah mereka juga perlu faham bahawa baginda amat mencintai Madinah sehingga baginda pernah berdoa kepada Allah:

“Ya Allah, jadikanlah kami mencintai Madinah sebagaimana kecintaan kami terhadap Mekah atau lebih cinta lagi,”

ISTIMEWANYA KOTA MADINAH

Kota Madinah merupakan antara satu daripada dua kota yang gagal ditembusi oleh Dajjal. Sebuah lagi ialah Mekah. Sebuah hadis pernah menceritakan bagaimana Dajjal menggambarkan kegagalannya itu:

“Aku akan keluar dan menelusuri muka bumi. Tidaklah aku membiarkan suatu daerah kecuali pasti aku singgahi dalam masa empat puluh malam selain Mekah dan Thoybah (Madinah). Kedua-dua kota tersebut diharamkan bagiku. Tatkala aku ingin memasuki salah satu dari dua kota tersebut, malaikat menemuiku dan menghadangku dengan pedangnya berkilat. Dan di setiap jalan bukit ada malaikat yang menjaganya.”

Selain itu, Madinah juga dicatatkan oleh para alim ulama mempunyai keistimewaan dan kelebihan sendiri antaranya:

• Allah menjadikan Madinah sebagai tempat masuk yang benar.
• Diharamkan membawa senjata ke Madinah dengan berperang atau membunuh.
• Allah menjadikan Madinah sebagai tempat kelahiran Islam.
• Wabak penyakit berpindah dari Madinah ke Juhfah.

KELEBIHAN MASJID QUBA

Mereka berpeluang untuk meraih ganjaran pahala bersamaan dengan sekali mengerjakan umrah apabila bersolat di Masjid Quba’. Ia merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW untuk menunaikan solat jemaah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba’ lalu dia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah.”

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah:108: “…Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) , sejak hari pertama adalah lebih patut untukmu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Masjid Nabawi pula adalah masjid yang turut dibangunkan oleh Rasulullah SAW dan merupakan masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidilharam. Peluang melawat Lembah Bukit Uhud pula akan memberi peluang kepada jemaah haji mengambil iktibar bagaimana jangan sesekali melakukan pembelotan dalam perjuangan.

Mereka perlu menjadikan tindakan Abdullah bin Ubai bersama 300 orang berpatah balik ke Madinah sebagai pengajaran.

Kesimpulannya, Madinah adalah kota untuk beribadah dan ziarah yang mampu memberikan manfaat besar kepada jemaah haji dalam usaha mereka meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan mencintai Rasulullah SAW.

KETAHUI LANJUT TENTANG KELEBIHAN BUMI MADINAH DENGAN MELAWATI TEMPAT ITU BERSAMA KAMI.