[ Madain Saleh ]
Apabila kita membaca al-Quran kita akan menjumpai cerita-cerita kehancuran dan kebinasaan kaum-kaum terdahulu yang tidak mahu beriman kepada Allah SWT. Di antaranya ialah kaum Ad’ umat Nabi Hud, Kaum Samud umat Nabi Soleh serta kaum Madyan umat Nabi Syu’aib dan lain-lain kaum serta bangsa yang lain lagi.
Membaca ayat al-Quran dalam surah Hud ayat 62 sehingga 69 menceritakan kepada kita bagaimana Nabi Soleh berdakwah kepada kaumnya dan sehingga akhir ayat itu bagaimana Allah menurunkan azab kepada mereka.
Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Surah Hud Ayat 68)
(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.(Surah Hud Ayat 69)
Dalam Alquran, kaum ‘Ad dan Samud disebutkan secara bersamaan. Menurut para ahli tafsir, terdapat sebuah hubungan antara kedua kaum ini. Dan, kaum ‘Ad pernah menjadi bahagian dari sejarah kaum Tsamud.
Nabi Saleh memerintahkan umatnya untuk mengambil peringatan dari kejadian yang pernah menimpa umat Nabi Hud (kaum ‘Ad). Sementara itu, kaum ‘Ad ditunjukkan contoh dari kaum Nabi Nuh yang pernah hidup sebelum mereka. Kaum ‘Ad mempunyai kaitan penting dengan kaum Nabi Nuh. Ketiga kaum ini mempunyai hubungan sejarah yang saling berkaitan.
Terdapat hadis Nabi Muhammad SAW pernah melalui madain Saleh tersebut pada tahun ke 9 hijrah sewaktu perang Tabuk dan Baginda melarang sahabat berhenti di situ dan Baginda berkata jangan kamu masuk ke tempat yang di azab ini melainkan kamu menangis . Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada hadis Ibnu Umar.
Alhamdulillah , walaupun tidak menangis secara zahirnya namun ibrah serta pengajaran dari bumi itu sangatlah hebat dan penuh dengan sejarah, bagaimana mereka memahat gunung-ganang mereka untuk dijadikan rumah.
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum ‘Ad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi”(.Surah al-A’raf Ayat 75)
Sehebat-hebat kita belum tentu kita dapat tahan untuk bina dan pahat bukit-bukit untuk dijadikan tempat tinggal, namun sehebat mereka dengan perkara teknikal dunia namun mereka tetap ingkar terhadap Yang Maha Esa. Namun mereka tetap ingkar akan Allah sehingga Allah turunkan azab kepada mereka.
Kini kota ini menjadi warisan Dunia selepas mendapat pengiktirafan oleh PBB ( UNESCO) sendiri dan tersenarai daripada 2008 sebagai ( World Heritage Site), Lokasinya terletak di utara madinah dengan perjalanan dari Madinah mengambil masa dalam 3 jam 30 minit ke 4 jam menggunakan bas.
Terdapat 132 binaan lama yang masih kukuh sehingga sekarang ini , binaan itu dikatakan bilik-bilik tidur dan makam-makam mereka, tempat ini terletak sekitar 440 KM dari bandar Madinah dan mereka yang hidup di sini dijangkakan pada tahun 200 sebelum Masihi sehingga abad 2 masihi iaitu 200 Masihi. Hebatnya Allah masih biarkan tempat ini sebagai suatu sejarah yang kekal bagi kita sebagai umat Islam untuk mengambil pengajaran. Kelihatan terlalu hebat binaan-binaan tersebut, namun disebalik kukuhnya binaan-binaan mereka, perlu dilihat juga keimanan kita dengan Allah swt, sejauh mana kita beriman dengan Quran dan hadis Nabi SAW sebagai suatu sumber wahyu.
Bila membawa jemaah Umrah ke sini, bagaikan membawa mereka melihat serta mencari pengajaran besar untuk melalui hari-hari mendatang. Tidak mudah suatu kaum besar dan hebat akhirnya mereka ingkar akan arahan Allah swt melalui utusanNya. Kita masih Allah beri waktu dan masa agar melihat dan mengambil pengajaran.
Comment (0)