Rebut 10 Zulhijjah

Rebut 10 Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين، أما بعد

Umat Islam semakin menghampiri bulan sambutan ibadah haji. Bagi mereka yang bertuah dan terpilih untuk menjadi tetamu Allah di tanah suci pada kali ini,  semestinya sedang merasai keseronokkan ibadah agung itu. Di Tanah Haram itulah menjadi tempat tumpuan yang mengumpulkan jutaan umat islam pada saban tahun dengan pelbagai warna kulit serta seribu satu karenah manusia akan kita jumpa. Namun yang pasti, bahang keseronokkan ibadah itu amat patut dirasai oleh semua umat islam walaupun sekali, tidak kiralah mereka yang dijemput Allah swt mengerjakan ibadah itu pada tahun ini ataupun mereka yang masih menunggu giliran mereka pada tahun-tahun hadapan. Kita doakan agar diri ini antara golongan yang akan dipilih Allah swt pada tahun-tahun akan datang untuk megerjakan ibadah tersebut.

Suka saya ingatkan bahawasanya kita sudah mendekati hari-hari yang terbaik dalam Islam iaitu sepuluh pertama Zulhijjah. Allah swt menyebut dalam al-Quran :

{ وَالْفَجْرِ * وَلَيَالٍ عَشْرٍِ } [ الفجر: 1-2 ]

Maksudnya : Demi waktu fajar. Dan hari-hari yang sepuluh.

Ibnu Abbas menceritakan bahawasanya sepuluh hari itu ialah sepuluh pertama hari Zulhijjah.

Hadis daripada Jabir bin Abdillah di dalam Jami’ as-Soghir (1133) menyebut bahawanya Nabi saw bersabda : Hari terbaik di dunia adalah sepuluh hari Zulhijjah. Ibnu Hajar al-Asqolani menyebut : Secara zohirnya , sebab  yang menjadikan sepuluh hari Zulhijjah ini hebat dari hari-hari yang lain ialah kerana berkumpulnya segala ibadah di satu waktu, seperti solat, puasa, sedeqah dan juga ibadah haji yang kita tidak boleh dapat di bulan yang lain. 523\2 Manakala Ibnu Taimiyyah (Majmu’ Fatawa 25\154), apabila beliau ditanya tentang perbezaan sepuluh Zulhijjah dan sepuluh malam terakhir Ramadhan,yang manakah lebih baik? Jawabnya : Sepuluh hari Zulhjjah lebih baik dari dari sepuluh akhir Ramadhan, dan sepuluh malam akhir Ramadhan lebih baik dari malam-malam sepuluh awal Zulhijjah.

Hadis ibnu Abbas:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ: مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ. قَالُوا : وََلا الْجِهَادُ، قَالَ: وََلا الْجِهَادُ، إَِلا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ. [ صحيح البخاري، (969)

Maksudnya :Apakah amalan yang lebih baik daripada hari-hari seperti ini. Mereka bertanya: Walapun jihad? Jawab baginda: Walaupun jihad, kecuali seorang pemuda yang keluar membahayakan dirinya dan hartanya ( untuk jihad) dan beliau tidak pulang dengan apa-apa.

Di dalam Riwayat Tarmizi dan Abi Daud, Nabi saw bersabda yang maksudnya : Tidak ada hari yang amalan solehnya lebih Allah suka daripada sepuluh hari ini, mereka bertanya : Wahai Rasulullah walaupun jihad di jalan Allah? Berkata Rasulullah saw : walupun jihad di jalan Allah kecuali seorang pemuda  keluar bersama hartanya dan beiau tidak pulang. Sunan Tarmizi (757) sunan Abi Daud(2438),sunan Ibnu Majah (1753)

Ibnu Hajar menyebut : Di dalam hadis ini menceritakan besarnya pahala jihad dan ianya ada beberapa maratib, tujuannya ialah mengerjakan sesuatu kerana Allah  (بذل النفس لله ), dan disitu juga adanya sesuatu yang menjadi kelebihan dari yang lain seperti waktu-waktu tertentu,tempat-tempat tertentu, dan kelebihan sepuluh hari pertama Zulhijjah daripada hari-hari yang lain. (fathul bari 2\533)

Antara amalan sunnah yang boleh kita lakukan pada sepuluh awal Zulhijah ini ialah:

Berpuasa, Ibnu Rajab al-Hanbali menyebut antara mereka yang berpuasa sepuluh hari ini ialah Abdullah bin Umar.  Adapun satu hadis di dalam Sohih Muslim daripada Aisyah ra menyebut: Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sepuluh langsung (9\1176). Imam Nawawi dalam menghuraikan hadis ini menyebut: Sesungguhnya hadis ini membayangkan bahawasanya puasa di sepuluh pertama ini adalah makruh, yang dimaksudkan dengan sepuluh disini ialah dari hari pertama sehingga ke sembilan zulhijjah. Takwilan kepada hadis itu ialah Baginda saw tidak berpuasa kerana ada sesuatu halangan seperti sakit, musafir ataupun Aisyah ra tidak pernah melihat baginda saw berpuasa pada hari itu. Ataupun tinggalnya Nabi saw akan amalan tersebut sedangkan Baginda saw suka akannya adalah kerana tidak ingin ibadah itu di wajibkan kepada umat baginda saw.

Hadis Abi Qatadah dalam Sohih Muslim(1162): Sesungguhnya Rasulullah saw di tanya tentang Puasa Hari Arafah, jawab Baginda saw: يكفر السنة الماضية و الباقية .maksudnya : ianya mengkifarahkan dosa yang sebelumnya dan selepasnya. Namun, puasa pada hari kesembilan iaitu Hari Arafah adalah sunnah kepada sesiapa yang tidak ada di Arafah sahaja,manakala orang yang ada di Arafah pula sunnahnya mereka berbuka kerana Nabi saw sendiri berbuka pada hari tersebut ketika haji wada’ haji yang terakhir Baginda saw.

Qiyamullail. Menghidupkan malam-malam sepuluh Zulhijjah kerana ianya dikira sebagai taqarrub kepada Allah

Zikrullah . Memperbanyakkan zikrullah juga adalah di tuntut untuk menghidupkan hari-hari sepuluh Zulhijjah ini. Allah menyebut dalam surah al-Hajj 28 : ويذكروا اسم الله في أيام معلومات maksudnya : Danmereka berzikir kepada Allah di hari-hari yang telah di maklumi. Kebanyakkan ulama menyebut hari-hari tersebut ialah sepuluh pertama Zulhijjah.

Taubat kepada Allah swt. Kita sebagai seorang mukmin yang beriman kepada Allah perlu selalu bertaubat kepada Allah tambahan pula hari-hari yang dikira sebagai hari terbaik di sisi Allah swt, dan juga cuba menjauhi segala larangan Allah swt.Kerana dosa menghalang seseorang mendapat sesuatu kebaikkan daripada Allah swt.

Bersedeqah dan berinfaq. Ianya juga merupakan sesuatu yang di tuntut di dalam Islam, antara hikmahnya ialah seseorang yang rajin bersedeqah dan berinfaq di jalan Allah swt maka hati mereka adalah hati-hati yang lembut dan masih lagi mempunyai sifat peduli kepada umat islam.Tambahan pula kita yang bakal berdepan dengan hari-hari terbaik di dalam Islam.Semoga kita bersedia untuk berinfaq dan bersedeqah di hari-hari terbaik tersebut.

Tidak lupa juga kepada semua amalan kebaikkan yang telah kita cuba lazimi dalam diri kita seperti solat berjemaah, berada di saf hadapan waktu solat,menghubungkan silaturrahim dan setiap amalan baik kita. Semoga kita terus bersedia untuk menghadapi hari-hari hebat yang bakal tiba.


Mursyid
9 october 2012
23 zulqaedah 1433

Comments are closed